Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Persekutuan patut belajar cara Selangor selenggara jalan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya Kerajaan Negeri gagal menyelenggara jalan negeri menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (MARRIS)  adalah tidak benar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, RM600 juta diluluskan sebagai Siling Perbelanjaan MARRIS untuk agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Selangor, 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), bagi tahun 2017.

Katanya, jumlah itu melebihi jumlah pemberian yang dijangka dari Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan sebanyak RM496.38 juta.

ybzaidy-2“Perbezaan jumlah terimaan dengan sasaran perbelanjaan berkenaan akan ditampung menerusi baki terkumpul tabung Amanah MARRIS Negeri Selangor hasil penjimatan proses perolehan secara terbuka dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.

Zaidy berkata, kesemua wang pemberian MARRIS diterima Kerajaan Negeri adalah diperakaunkan ke dalam Tabung Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (Vot Amanah: 57041).

Katanya, perbelanjaan dana itu juga adalah tertakluk kepada Arahan Amanah tabung berkenaan dan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian MARRIS yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).

“Diharap Kerajaan Persekutuan dapat mencontohi komitmen dan prestasi Kerajaan Negeri dalam penyelenggaraan jalan persekutuan di dalam Selangor.

“Jalan Persekutuan (FT180 dan FT181) di Pelabuhan Kelang misalnya adalah jalan pintu masuk utama untuk perdagangan secara import dan eksport negara, Jalan Klang – Teluk Intan (FT05) merupakan jalan yang menghubungkan antara negeri dan menjadi akses serta nadi kepada aktiviti ekonomi setempat.

jalan reko“Kerajaan Negeri mengambil serius kerosakan di jalan berkenaan dan mengambil maklum status jalan berkenaan yang merupakan Jalan Persekutuan.

“Tetapi oleh kerana penggunaan dana MARRIS khusus untuk pembaikan Jalan Persekutuan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka dana khusus membaiki jalan berkenaan haruslah disediakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Ahmad Zahid mendakwa Kerajaan Negeri tidak menambah baik kemudahan jalan negeri di bawah MARRIS selepas menerima peruntukan lebih RM200 juta daripada Putrajaya.


Pengarang :