Planet Hell | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Planet Hell

Oleh Zul Azlin Razali

5.30 AM. Bukan kerana azan berkumandang. Bukan juga kerana loceng jam berderang. Dia dikejutkan oleh hujan lebat yang sungguh garang. Air yang dilepaskan dari langit menghunjam dan menghentam apa sahaja di bumi. Begitulah titisan air yang lembut boleh bertukar menjadi ngeri. Bunyi di luar berdentang-dentang. Kadang-kadang seperti bergendang. Mata sudah terbuntang tetapi dia masih terkedang.

Cukup sudah bagasi-bagasi beban yang dipikulnya berbulan-bulan yang lalu. Sejak dua pekan tidur sukar untuk dimulai, bangunnya pula terlalu pagi. Igauan yang bukan-bukan, mainan syaitan di dalam mimpi. Yang dia semakin tertarik hati, mimpinya membunuh diri. Entah mengapa, seolah-olah itu sahaja saat yang boleh dinikmati. Murung, duka, sedih, gundah, pilu dan hiba. Beraneka ragam kata mencorak satu makna. Ada yang kata ini semua mengada-ada. Mainan jiwa orang yang kurang agama. Persetankan itu semua. Yang mengalami hanya dia bukan mereka.


7.30 am. Dua jam terbazir. Tanpa solat, tiada mandi, tanpa bersenam, hanya berfikir nasib diri. Bukan fikir sebaliknya mengulang tayang malang-malang yang menimpa. Memamah biak masalah-masalah yang mengisi pundak. Hanya ruminasi tiada usaha untuk cari jalan keluar. Bukan dia tidak mahu. Dia tidak mampu. Segala-galanya dia lihat berliku. Roda hidupnya semakin perlahan dan dia hilang tumpu. Logik akal sudah lepas ke langit biru. Satu persatu bala menerpa. Dia percaya dia dicipta untuk menadah segala malapetaka. “P*lat!” ungkapnya separuh berbisik. Bukan tasbih, bukan tahmid tetapi carutan sebagai pembuka hari.

7.45 am. Dia harus ke tempat kerja dengan segera. Tempat yang langsung tidak membina keyakinan dirinya. Masa suntuk. Kelam kabut hanya mengundang nahas. Tersepit jarinya di celah pintu. Sakit yang amat mengundang carutan kedua. Entah bagaimana hati melankolik berubah menjadi berang. Pintu ditendang. “Biar kau rasa” teriaknya. Carutan dan tendangan bersilih ganti hinggap pada pintu. Dia pasti pintu itu akan menyesal sepanjang hidup.  Aneh. Hidupnya sekarang ada dua emosi sahaja; hiba dan baran. Entah bagaimana dua emosi itu berharmoni dalam dirinya.

Suara lunak Tarja Turunen dalam merdu-mersik korusnya bergema timbul. Sekala-sekala butir-butir nyanyiannya berbancuh dengan deruan enjin-enjin lain di jalan macat ini. Dia meningkatkan julat volum radio kereta. Lirik Nightwish yang terkadang melankolia dan zulmat menggamit jiwa kosongnya. Gothic Metal, unsur yang subur di tanah Scandinavia. Seolah-olah pahlawan-pahlawan Viking berevolusi menjadi perwira-perwira moden bersenjatakan gitar, dram dan keyboard mengeksport muzik metal yang rencam. “It is the end of all hope, to lose the child, the faith, to end all the innocence, to be someone like me…” Dia membiarkan alunan muzik dan lirik tidak berkeimanan itu menghiburkan sukma lara.

Jalan macet. “Sial! Aku dah keluar sebelum pukul 8 pun stuck juga,” dia mengadu. Adu pada siapa? Pada Tarja Turunen mungkin. Tarja menjawap dengan lagu seterusnya “Planet Hell.” Kepala terhangguk-hangguk mengikut rentak. Jari bergemeretup di stereng persis dialah pemain dram kugiran itu. Agak pelik bagaimana muzik begini mampu memberi sedikit sinar padanya. Seperti satu daya ghaib hadir memberi kesaktian sementara untuk dia lupakan sengsara. “B*bi!!!” Carutan kali yang ke… ahh. Penulis pun sudah malas mahu mengira. Sumpah seranah dikurniakan kepada penunggang motor yang melanggar cermin sisi keretanya. “Anak h*ram!!” hamunnya lagi. Boleh jadi peristiwa boleh diundur dan diulang tayang jika lebih banyak makian dihamburkan. Mungkin si penunggang akan menerima nasib buruk jika tepat jenis carutan yang diucapkan. Mungkin juga penunggang yang sudah hampir satu kilometer di depannya boleh mendengar jika hasil kejian cukup ramuan dan sukatan.

9.40am. Masih lagi dalam kebantutan trafik. “Bodooooh!!!” Satu jeritan mungkin boleh mengurangkan skala stres. Melinggas dia memandang sekeliling. Penunggang-penunggang kapcai terus berlalu sambil sesekali membunyikan hon. Bukan. Hon bukan dibunyikan untuk meraikan teriakan protesnya. Kereta berjujut-jujutan. “Pergi mampus la kau Hassan. Kau nak menjerit ke. Kau nak mencarut ke seorang dalam tu, kami peduli apa. Kau jangan mati sekarang sudah. Jangan bunuh diri di sini. Payah kami. Lagi jammed jalan.” Dialog fantasi dia mainkan. Pandangannya tertancap pada pemandu kereta sebelah yang ralit mengunyah roti kapit telur. Sekurang-kurangnya pemandu ini bijak menggunakan masa yang terbuang.

“Kemurungan major adalah sejenis kesedihan yang lain daripada kesedihan biasa…. Ia adalah penyakit.” Terngiang-ngiang suara panelis rancangan bual-bicara di saluran televisyen kerajaan itu. “Penyakit ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan juga teknik psikologi tertentu.” Entah macam mana kotak memorinya boleh terdaftar isi-isi rancangan yang bosan yang entah bila dia menontonnya. Bagaimana serpihan memori ini pula yang menjengah di saat kesesakan jalan raya yang celaka ini? Apa jadahnya kalau orang sudah murung berjumpa doktor? Doktor apa, doktor jiwa? Ahh. Aku bukan gila.

9.55am. Akhirnya tiba jua. Dia melangkah longlai ke ruang lobi. Mindanya seperti tidak berpelincir. Kenikmatan dendangan Nightwish tadi ternyata sementara. Seolah-olah ia hanya menutup sekejap pentas murungnya yang maha besar ini. Rasa tidak berguna dan rasa mahu berhenti hidup kembali meraja. Dia menekan punat 36 di dinding sebelah kanan lif. Eh, bukankah pejabatnya di tingkat 2?

Jalan raya berturap di bawah nampak menarik untuk ditujah. Geram bercampur benci. Benci siapa? Benci diri. Semua tidak kena hari ini. Geram benci. Benci geram. Baik mati.  Sudah berpekan-pekan dia tertekan. Biar sahaja dia dikapan. Ayuh. Jalan berturap di bawah terus memanggil-manggil. Daya ghaib itu datang lagi membantunya melangkah ke birai tingkap. Satu langkah. Dua langkah. Selamat dia terjun. Mulanya desir angin hanya menyapa pipi. Sesaat kemudian semakin kuat tarikan graviti. Angin sudah menampar-nampar pipi. “Ya Allah, aku akan mati. Ya Allah. betul ke ni. Aku tak sempat bersyahadah lagi.” Dia sudah silap. Tidak boleh patah balik. Kali ini luar biasa ketakutan yang menjelma. “Celaka. Sial.” Cemas. Tangannya terkapai-kapai cuba mencapai.

“San…San.. Hassan….oiiii… bangun. Apa teruk benar kau mengigau”

Terkebil-kebil. Berbalam-balam wajah teman serumahnya. Astaghfirullah. Peluh mengucur, debar yang laju kendur, dari igauan ngeri itu dia undur. Astaghfirullah. Perlahan-lahan minda terjemahkan ini bukan alam kubur. Astaghfirullah. Panasnya hari, waktu sudah zuhur. Dia bingkas bangun, dibirai katil duduk menekur.

“Aku tidak mahu hidupku barai,” bisik Hassan. Di sujudnya yang akhir dia lama. Hati itu jadi pasrah. Gaya hidupnya harus berubah. Dalam sukar ada mudah. Pasti ada senang dalam susah. Itukan janji termaktub sudah. Manusia tidak boleh memilih masalah. Namun manusia boleh memilih bagaimana untuk menanggapi masalah. Allahkan penuh rahmah. Penuh kasih. Kad Klinik Pakar Dr Yeoh & Dr Hazli dipegang kejap.

Temu janji jam 2.30 pm.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Terdahulu

PAGI DI KUALA LUMPUR

Berita Seterusnya

SURAT BUAT ANAK-ANAK SEMAI

BERITA BERKAITAN

Prev
Next