PTPTN: Golongan miskin mangsa utama | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

PTPTN: Golongan miskin mangsa utama

OLEH NORHAYATI UMOR

Akta Pendidikan serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diperkenalkan secara rasminya kepada umum pada 1996.

Setahun kemudian, PTPTN ditubuhkan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian yang membolehkan IPTS tumbuh seperti cendawan.


Pada 2007, jumlah peruntukan PTPTN yang diagihkan kepada IPTS mengatasi IPTA buat pertama kali dan trend itu kekal, hingga hari ini.

Pada 2015, RM2.5 bilion diagihkan kepada IPTS berbanding RM1.7 bilion untuk IPTA.

mahasiswaPada masa sama, kerajaan memotong perbelanjaan untuk IPTA dengan drastik. Sebagai contoh, tahun 2016, apabila peruntukan IPTA dipotong RM1.4 bilion iaitu 27 peratus berbanding tahun sebelumnya dan begitu juga dengan biasiswa serta bantuan pelajaran dipotong RM812 juta.

Keadaan itu menyebabkan pelajar miskin yang bergantung kepada bantuan ini menjadi mangsa utama.

Oleh kerana peruntukan dipotong, tempat pelajar yang ditawarkan di IPTA menjadi lebih sedikit, sekaligus mereka mendapati jalan yang ada hanya di IPTS.

Bagaimanapun, ketika ini, ramai graduan berdepan dengan pengangguran, gaji rendah serta kos hidup tinggi, maka kadar pembayaran semula PTPTN kekal rendah.

Bermula 2015, kadar pengangguran bagi mereka dengan pendidikan tinggi adalah 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus bagi golongan yang mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak terbayar bagi tahun itu mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6 peratus.

Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN menggunakan beberapa langkah termasuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS, sekali gus menjejaskan mereka yang tidak membuat bayaran daripada membuat pinjaman rumah atau kereta, menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar, menghentikan pemberian pinjaman penuh, dan menggalakkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan graduan membuat bayaran.

Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 586,863 peminjam PTPTN disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen membabitkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.

Pendidikan percuma dan syarat 

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berpendapat, pendidikan percuma bukan bermakna rakyat tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Katanya, kos itu merujuk kepada suatu bayaran minima yang lebih munasabah yang terpaksa dikenakan terhadap pelajar seperti berlaku di Jerman.

PTPTN“Saya agak bersetuju dengan pendidikan percuma di peringkat universiti diberikan kepada rakyat tetapi itu tidak menunjukkan bahawa mereka tidak akan keluar satu sen pun.

Dr Maszlee turut melontarkan pendapat bahawa pemberian biasiswa kepada penerima yang layak selaras dengan konsep ekonomi pasaran bebas.

“Bagi yang berpendapatan rendah, mereka berhak dapat tetapi aya tak nampak perlu beri biasiswa kepada mereka bagi anak datuk, anak tan sri, anak pengarah GLC dan syarikat besar,” katanya.

Perniagaan dan politik 

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Faizal Abdul Rahman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan ketika ini lebih berorientasikan perniagaan (business government) bukannya berorientasikan rakyat (social government).

Beliau berkata, sekiranya kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati mendapat keuntungan daripada segi moral dan jika mereka bercakap tentang ganjaran wang ringgit, maka tidak boleh mendakwa mereka sudah melaksanakan tanggungjawab sosial.

“PTPTN adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan bukannya sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan.

“Tanggungjawab sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan,” katanya.

MAHASISWAPada 2012, kecoh apabila PTPTN bertindak menyekat dan membekukan pembiayaan pendidikan (dana kewangan) kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL). Pengakuan pembekuan itu turut diakui kebenarannya oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.

Dalam perkembangan sama, penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) turut berdepan masalah pembekuan yang sama.

Ekoran timbulnya isu itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membantah dan mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) juga PTPTN kerana perbuatan menyekat menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Malaysia serta bercanggah dengan moto ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Ketidaksetujuan dalam isu pembekuan PTPTN juga turut disuarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menegaskan, penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.

Sebagai reaksi daripada tindakan pembekuan itu, suatu pendekatan drastik jangka pendek diumumkan Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika itu yang bersetuju membantu pelajar baru UNISEL yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

Aset hartanah UNISEL seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM diapungkan untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil daripada usaha itu.

Peluang pekerjaan kuncup 

Mengikut statistik dikeluarkan oleh Laporan Bank Negara 2016, kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding belia tanpa pendidikan tinggi iaitu 9.8 peratus, pada tahun 2015.

Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, ramai graduan menganggur untuk tempoh masa panjang.

Katanya, peluang pekerjaan yang semakin menguncup disebabkan keadaan ekonomi semasa menyebabkan syarikat dan organisasi mengurangkan pengambilan pekerjaan.

“Situasi semasa amat memeritkan bagi graduan dan juga pelajar tahun akhir pengajian tinggi.

“Boleh dikatakan, ratusan ‘resume’ dan e-mel permohonan pekerjaan dihantar bagi setiap iklan peluang pekerjaan dikeluarkan majikan,” katanya.

Beliau berkata, jika fenomena itu dibiarkan berlaku tanpa penyelesaian, maka dalam tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan begitu ramai lambakan graduan terus menganggur tanpa diberi kesempatan untuk menimba pengalaman di alam kerjaya mereka.

Apakah langkah drastik kerajaan lakukan untuk mengatasi hal itu? Adakah PTPTN akan terus bertindak kejam kepada pelajar dalam hal ini?

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next