Selangorkini
EKONOMI

Ringgit diniaga tinggi 4.2780/2840 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 19 JULAI: Ringgit melanjutkan peningkatan semalam dengan dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini.

Ia berikutan pelabur terus membeli bon dan ekuiti tempatan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan berada pada paras 4.2780/2840 berbanding dolar AS daripada paras penutup semalam 4.2840/2860.

Peniaga Kanan OANDA, Stephen Innes, berkata pengaliran masuk dana berterusan ke Asia terutama di pasaran baharu muncul berikutan pengumuman perangkaan Indeks Harga Pengguna yang lemah mendorong penjualan besar-besaran dalam dolar AS.

Di samping itu, perangkaan pertumbuhan ekonomi China yang kukuh pada suku kedua, yang mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus di sokong peningkatan pengeluaran perindustrian, menyokong risiko serantau, kerana kestabilan dan pengukuhan renminbi membantu sentimen risiko tempatan.

Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1309/1371 daripada 3.1359/1385 semalam, tetapi menyusut berbanding yen kepada 3.8193/8257 daripada 3.8175/8203 semalam.

Sementara itu, unit tempatan mengukuh berbanding pound kepada 5.5725/5829 daripada 5.5885/5915 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9385/9459 daripada 4.9480/9520.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :