PBT SELANGOR

Salah guna parkir, kos RM1,500 dikenakan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JULAI: Orang ramai sekali lagi diingatkan bahawa kos memecah tanjakan sebanyak RM1,500 bakal dikenakan kepada pemilik atau penyewa premis yang membina tanjakan tanpa kebenaran di tempat letak kenderaan, mulai hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, notis peringatan tujuh hari akan dikeluarkan terlebih dahulu bagi memberi peluang pemilik atau penyewa meroboh atau menyewa tempat letak kereta berkenaan.

Katanya, ia boleh disewa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (133) Seksyen 46.1(a), membina susur atau tanjakan dan menyebabkan halangan di petak letak kereta.

“MBSA memohon agar pemilik atau penyewa premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

“Ia bagi mengelak tindakan tegas dan dikenakan kos memecah tanjakan mencecah RM1,500,” katanya.

Shahrin berkata, MBSA mula melaksanakan operasi pecah tanjakan ke atas premis yang membina tanjakan tanpa kelulusan pada 2012.

“Objektif operasi ini adalah untuk menyelesaikan aduan halangan awam di petak tempat letak kereta selain mendidik pemilik atau penyewa premis untuk membuat permohonan penggunaan tempat letak kereta menerusi saluran betul,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, orang ramai boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658.

Penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

Terdapat 21 kategori perniagaan yang layak memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan.

Antaranya kedai membaiki kereta atau motosikal, kedai menjual aksesori kereta atau motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta atau motosikal, pasar raya atau kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya.

=EZY=


Pengarang :