Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruits Valley pemacu Agro Pelancongan Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 8 JULAI: Pembangunan Selangor Fruits Valley (SFV) sebagai Taman Agro Pelancongan diyakini bakal membuka lembaran baharu dalam sektor agro pelancongan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkembangan agro pelancongan menunjukkan sektor pertanian dan hasil tani mempunyai nilai besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, sektor pertanian menyumbang 4.5 peratus daripada jumlah sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Agro pelancongan kini sedang berkembang pesat di Malaysia kerana menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan sektor pertanian dan perladangan.

IMG_1109“Negara seperti Thailand dan Jepun sudah membuktikan bahawa agro pelancongan dapat menjana pertumbuhan ekonomi apabila kita dapat merencana secara kreatif produk pelancongan yang dapat memenuhi kehendak pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Agro Pelancongan Selangor Fruits Valley dan Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, lebih tujuh juta pelancong mengunjungi Selangor pada tahun lalu.

“Pertumbuhan ekonomi pesat mengubah dinamika sektor pelancongan dengan pelbagai tarikan seperti Edu Tourism, Health Tourism, Eco Tourism, Agro Tourism dan Sports Tourism.

“Kemudahan hotel lima bintang, hotel bajet, homestay dan penginapan ala resort merupakan antara tarikan pelancong, yang bukan sahaja singgah di KLIA tetapi menginap dan berbelanja di Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :