Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor peduli nasib rakyat, tunjuk kasih sayang rakyat negeri lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUANTAN, 22 JULAI: Kerajaan Selangor terus memikul tanggungjawab diberikan dengan amanah bagi menjamin kesejahteraan seluruh lapisan rakyat sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Selangor pada masa sama turut menunjukkan kasih sayangnya kepada rakyat negeri lain melalui pelbagai program kebajikan.

“Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat kita bukan hanya peduli rakyat Selangor kerana kemajuan dan pembangunan di Selangor itu juga disumbangkan rakyat yang berhijrah dari negeri lain.

“Saya berpandangan dengan kekayaan dan hasil Selangor perlu diurus dengan bijaksana, berhemah dan bertanggungjawab untuk membangunkan rakyat dan pada masa sama kita tunjuk rasa kasih dan sayang kepada negeri lain kerana akhirnya yang hendak dibangunkan adalah negara Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas beliau selesai mengadakan lawatan kerja dua hari bermula di Perak semalam sebelum berakhir di Kuantan, Pahang hari ini.

Jelasnya, pendekatan Kerajaan Negeri itu perlu dicontohi Kerajaan Negeri lain demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersatu padu dan lebih gagah.

Sementara itu, apabila ditanya hasil lawatan kerjanya itu, Mohamed Azmin menjelaskan masyarakat setempat memberikan penerimaan amat positif.

“Saya bersyukur melihat perkembangan positif di setiap lokasi yang saya singgah dalam lawatan kerja bermula di Pasir Salak, Bagan Datok, Parit Buntar, Bagan Serai dan sebelah malamnya Kuala Rengas dan Kuala Kangsar dan berakhir di Kuantan di mana bukan sahaja sambutan dan persediaan baik tetapi penerimaan rakyat pelbagai kaum amat positif,” katanya.

Jelasnya, keadaan ini memberikan mesej jelas kesediaan rakyat berjuang bersama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Saya mengambil kesempatan ini bukan sekadar menegur kepincangan di Putrajaya tetapi memberi alternatif selaras dengan kerangka Pakatan Harapan yang menawarkan program peduli rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam lawatannya itu turut menyampaikan beberapa sumbangan Kerajaan Negeri kepada golongan memerlukan.

=EZY=


Pengarang :