Selangorkini
NASIONAL

Surat sokongan pinjaman 1MDB lulus tanpa ‘restu’ kabinet?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoal sekiranya wujud surat sokongan (letter of support) ketiga membabitkan liabiliti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan Putrajaya tanpa mendapat persetujuan jemaah menteri kabinet.

Beliau berkata, bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan, hanya dua surat sokongan yang dipersetujui jemaah menteri, pada sidang medianya, di Parlimen, pada 12 November 2014.

Pua berkata, kenyataan itu sekali gus menimbulkan kecurigaan berhubung jumlah sebenar surat sokongan dikeluarkan kerajaan bagi tangunggan hutang syarikat milik kerajaan itu.

“Kerajaan menjawab ada dua surat sokongan dengan nilai US3 bilion dan US150 juta pada 2015 tetapi melalui saman difailkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat DOJ wujudnya surat sokongan ketiga kepada Deutsche Bank, pada September 2014.

“Surat sokongan ini dikeluarkan bagi membantu 1MDB mendapat pinjaman US975 juta. Ini adalah surat sokongan seperti dirahsiakan kepada pengetahuan rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen, pagi ini.

tony puaPua berkata, menteri sewajarnya perlu menjelaskan keraguan kewujudan surat sokongan berkenaan yang dibuat tanpa mendapat persetujuan bersama jemaah kabinet.

“Persoalannya mudah, menteri kewangan atau perdana menteri perlu menjelaskan sekiranya wujud surat sokongan ketiga itu. Namun, di Parlimen soalan ini ditolak atas alasan ‘sangkaan’ tetapi hakikatnya saya bertanya berdasarkan fakta.

“Seharusnya menteri jawab ya atau tidak sahaja, tetapi beliau enggan menjawab dan ini akan menimbulkan lebih banyak kecurigaan bahawa wujudnya satu surat sokongan rahsia itu,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan surat sokongan kepada agensi kewangan antarabangsa bagi pembayaran liabiliti 1MDB.

Difahamkan, roses pengeluaran surat berkenaan memerlukan persetujuan secara bersama jemaah kabinet untuk lanjutan proses pinjaman kewangan.

Mengulas lanjut, Pua berkata, beliau akan memanjangkan isu berkenaan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung persoalan itu.

“Saya akan bertanya kepada Tan Sri Muhyiddin yang sebelum ini pernah berada di kabinet jika benar perdana menteri mengeluarkan surat sokongan itu tanpa kelulusan jemaah menteri lain,” katanya.


Pengarang :