Selangorkini
SUKANKINI

Tak bantu FAS selagi diurus pengurusan tiada integriti

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri tidak akan membantu dan menyokong Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selagi tiada reformasi dilakukan bagi menggantikkan pengurusan sedia ada yang dianggap tidak berintegriti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri hanya akan mendokong sekiranya berlaku perubahan dalam persatuan itu dengan diambilalih kumpulan pengurusan yang cekap dan amanah.

“Pada ketika ini, kita tidak akan memberi sokongan kepada mereka kerana melihat segala yang berlaku semenjak kebelakangan ini.

AZMIN-500x357“FAS memerlukan satu pengurusan baru yang lebih berintegriti dan pada ketika itu (selepas perubahan dilakukan) Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada kumpulan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap permintaan FAS dengan kenyataan dibuat Presidennya, Dato’ Seri Subahan Kamal, berharap Kerajaan Negeri dapat menyalurkan dana sebanyak RM5 juta atau sekurang-kurangnya RM3 juta bagi membantu perbelanjaan pasukan Selangor.

Sebelum itu, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menjelaskan FAS perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Negeri dan tidak menggunakan saluran media bagi tujuan itu.

“Saya tidak pasti (berhubung permohonan rasmi itu), mungkin melalui Amirudin selaku Exco Sukan namun itu memang ketetapan kita (tidak membantu).

“Sebab itu saya dan Amirudin (mantan pengurus Selangor) mengambil keputusan untuk tidak ada sebarang hubungan dengan FAS sejak setahun lalu.

“Ia menuntut satu reformasi menyeluruh dalam FAS,” katanya menyentuh soal pengurusan tidak bertanggungjawab dalam persatuan itu ketika ini.


Pengarang :