NASIONAL

Tubuh jawatankuasa khas, pantau penyelenggaraan lif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas dianggotai Kementerian Wilayah Persekutuan perlu dilaksanakan bagi menjalankan audit dan siatasan menyeluruh berhubung isu penyelenggaraan lif seluruh negara.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, langkah berkenaan dijalankan bagi mengelakkan sebarang insiden dan masalah penyelenggaraan lif khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang saban hari semakin membimbangkan.

“Saya menggesa pihak kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan satu jawatankuasa tindakan bersama.

FAHMI FADZIL“Ia berfungi untuk melakukan audit dan kajian mendalam mengenai keadaan, mutu perkhidmatan serta tahap penyelenggaraan lif sedia ada di seluruh negara.

“Tumpuannya membabitkan bangunan di bawah seliaan badan-badan kerajaan seperti PPR, hospital awam, dan pejabat kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil pengauditan jawatanakuasa itu perlu dibentang di Parlimen bagi tujuan pembaikan aspek piawaian keselamatan lif seluruh negara.

“Dapatan-dapatan jawatankuasa ini kemudiannya perlu diterbitkan, serta satu kertas putih kerajaan dibentang dan dibahas di Parlimen untuk mengenalpasti amalan terbaik (best practice), piawaian asas terkini serta penambahbaikan undang-undang sedia ada.

” Ini termasuklah Peraturan Kilang dan Jentera (Lif Elektrik untuk Penumpang-penumpang dan Barang-barang) 1970, yang perlu dikemaskini dengan memasukkan had umur lif serta penalti lebih tinggi bagi kegagalan penyelenggaraan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan, demi memastikan keselamatan pengguna lif seluruh negara lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu, seorang remaja dilaporkan maut setelah tersepit pada lif barang di sebuah kedai perkakas di Jalan Pekan Pendang Baru.

Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, dari Kampung Paya Palas, Kuala Rimau dekat sini tersepit dalam lif barang di tingkat dua kedai dalam keadaan bahagian bawah badan berada di dalam lif sementara bahagian dada ke atas terjulur ke tingkat bawah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.


Pengarang :