Zhu di dalam zoo | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Zhu di dalam zoo

Oleh  Ariff Mustaffa Hamzah

DI DALAM sebuah zoo, seekor babi hutan – setelah novel Animal Farm milik seorang pengunjung terjatuh ke dalam kandangnya dan setelah mengkhatamkannya berkali-kali – mampu bertutur bahasa Inggeris dengan lancar. Dia cuba berkomunikasi dengan kawan sebabi yang lain, malangnya mereka tidak memahami. Secara serta-merta bahasa ibundanya dilupakan, hilang seperti bau kentutnya di udara.

Sejak itu, si babi hutan mempelajari sekitar dan suasana. Dia berasakan lumpur, pokok, dinding batu, najis, makanan, pagar dan bulu-bulu yang gugur seakan ingin berbicara dengannya. Dia juga meneliti sifat dan tabiat sekalian kawan sekandangnya. Apakah yang ada di sebalik dinding batu dan pagar besi ini? Siapakah raja segala haiwan? Mengapakah langit berwarna biru? Pelbagai persoalan menderu masuk ke dalam kepala. Dia tidak tahu mengapa spesiesnya dibenci oleh semua manusia dan haiwan lain, lebih-lebih lagi monyet yang bebas berkeliaran di sekitar zoo pada waktu siang.


Setelah tidak mampu bertutur lagi dalam bahasa ibundanya, dia mulai jelik dengan kawan-kawan sendiri, lalu mengalihkan pandangan dan pemikiran jauh ke luar kandang. Dia tidak percaya dunia hanya sekecil itu. Tentu ada dunia yang lebih besar di sebalik kandang dan zoo itu. Barangkali ada spesiesnya yang pandai mengendalikan kenderaan, atau mahir menggunakan telefon pintar seperti pengunjung zoo. Berkali-kali dia cuba merancang untuk melompat keluar dari pagar besi kandang, tetapi gagal. Keempat-empat kakinya terlalu pendek. Kaum sejenisnya menjarakkan diri. Dia dipulau dan disisihkan. Mereka tidak suka dengan perubahan sikap itu, yang boleh menjejaskan keamanan seluruh kandang.

Dia mencuri dengar perbualan pelbagai spesies burung yang singgah di kandang. Segala maklumat dunia sekitar tumpah ke dalam kepalanya. Semakin hari dia bertambah bijak dan berintelektual tinggi. Dia mampu bercerita isu perang, politik, hiburan, sejarah dan kisah dongeng rakyat tanpa henti. Dia nekad. Dia harus keluar dari kurungan itu. Jiwa dan jasadnya terseksa. Tokoh sepertinya tidak boleh disekat kebebasan, dan meyakini bahawa tanggungjawabnya untuk membebaskan rakan-rakan haiwan lain.

Suatu malam, si babi hutan bermimpi bertemu dengan Major Tua yang kelihatan montel, muda dan cergas. Bukankah tuan sudah mati, soal si babi hutan kehairanan kepada Major Tua. Major Tua menerangkan mengenai hak kesamarataan antara haiwan dan manusia. Si babi hutan teruja dengan ideologi itu. Sungguh genius, pujinya. Apabila terjaga, dia kembali mendapat semangat dan kekuatan. Barangkali Major Tua ialah moyangnya, fikir si babi hutan, dan dia muncul untuk memandu keturunannya ke jalan yang benar.

INFO HADIAH SASTERASesudah berminggu-minggu menggali terowong rahsia berhampiran sebatang pokok di dalam kandangnya, si babi hutan berjaya meloloskan diri dari kurungan. Terowong itu tembus di tengah-tengah zoo, berhampiran rumah reptilia. Haiwan pertama yang ditujuinya ialah gajah. Ajaibnya, dia mampu bertutur bahasa gajah, malah semua haiwan di dalam zoo, kecuali bahasa asalnya. Melalui pertandingan teka-teki, dia berjaya mempengaruhi gajah agar menjadi pengikut setia.

Dengan tertunduknya gajah di kaki si babi hutan, seluruh penghuni zoo dikuasai satu demi satu; bermula daripada singa, antelop, unta, panda, tapir, penguin, beruang sehinggalah kepada kandau. Hanya koala yang gagal dikuasai kerana sering tertidur apabila si babi hutan membuat kunjungan ke sangkarnya, manakala anjing laut mengambil sikap berkecuali kerana tidak mahu dikaitkan dengan najis mughalazah.

Si babi hutan merancang untuk menggulingkan manusia, seterusnya menguasai keseluruhan zoo. Bermula dari penguasaan itu, dia boleh merangka pelan yang lebih besar, contohnya menguasai langit biru yang terbentang. Segala haiwan sudah bersiap sedia di posisi masing-masing untuk menyerang manusia apabila pekerja zoo terawal masuk bekerja pada waktu subuh.

Seekor gagak hinggap di dahan pokok berhampiran si babi hutan yang sedang berapi-api menyampaikan amanat terakhir. Perbuatan anda sia-sia, pesan gagak dengan serius, zoo ini tetap tidak menjadi tempat yang lebih baik dengan menggulingkan manusia, sambungnya lagi. Kau menghalang perubahan, tuduh si babi hutan lalu membaling batu ke arah burung hitam itu. Marah, si gagak melayang pergi, pulang semula ke tempat asalnya.

Masanya sudah tiba. Cahaya pagi lahir di Timur. Dua orang pekerja tiba di pintu masuk zoo. Tanpa menunggu lagi, sekalian haiwan pimpinan si babi hutan menyerbu ke arah mereka. Kedua-dua manusia malang itu mati di tempat kejadian. Serangan kita berjaya, jerit si babi hutan sambil menari-nari di atas mayat, lalu mengambil kunci pintu pagar dari poket salah seorang yang terkulai layu di tanah. Haiwan berpesta gembira, melompat dan melolong.

Kegembiraan cuma sebentar. Tidak lama kemudian, bingit kipas helikopter mencalar suasana. Lampunya menyuluh ke arah haiwan. Sekumpulan manusia bertopeng, berpakaian hitam serta lengkap bersenjata memecah masuk ke dalam kawasan zoo dari segenap arah. Senjata canggih import di tangan mereka menghamburkan peluru, menembus kulit dan daging para pejuang haiwan. Aku tidak menjangka keadaan ini, bisik si babi hutan, terkejut.

Dalam kekalutan, dan dalam ketewasan rakan-rakan haiwannya oleh serbuan itu, si babi hutan bertempiaran lari menuju ke terowong rahsia. Rancangan menggulingkan manusia telah tergulung. Manusia ternyata lebih cerdik dan licik. Dia turun ke medan perang tanpa mengkaji siapa musuhnya. Kali ini, dia perlu berundur dan merangka strategi baharu. Dari ekor mata, dia sempat menangkap imej si koala berpakaian celoreng hijau sedang menghisap cerut buatan Cuba, menghembus asap ke udara sambil tersengih.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next