Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

10 PBT Selangor terima penarafan lima bintang KPKT

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sebanyak 10 daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor menerima penarafan lima bintang daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, penarafan berdasarkan Keputusan Penggredan Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Semenanjung Malaysia dan Labuan (Tahun 2016) itu turut menyaksikan dua lagi PBT memperoleh empat bintang.

Katanya, penilaian dibuat Pasukan Inspektorat SPB-PBT KPKT ke semua PBT di Semenanjung Malaysia dan Labuan yang dijalankan pada 15 Februari 2016 sehingga 10 November 2016.

“Kriteria penilaian ke atas sistem penarafan berkenaan adalah melibatkan pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penarafan cemerlang KPKT itu sekali lagi membuktikan prestasi memberangsangkan PBT di bawah Kerajaan Negeri.

Katanya, ia juga sejajar hasil tinjauan Merdeka Centre for Opinion Research yang mendapati 74 peratus responden berpuas hati dengan prestasi PBT di Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor akan terus meningkatkan mutu penyampaian dan perkhidmatan PBT demi mengangkat martabat rakyatnya,” katanya.

PBT yang mendapat penarafan lima bintang ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaraan Klang, dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam pula mendapat penarafan empat bintang.

=EZY=


Pengarang :