Selangorkini
SELANGOR

100 warga kerja dan pengurusan Air Selangor sertai gotong royong

KUALA LUMPUR 5 OGOS: Seramai 100 warga kerja termasuk Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengadakan Program Gotong Royong Kuarters di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Batu yang menyediakan kediaman kepada 24 keluarga warga kerja.

Program yang diadakan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kuarters yang bersih, kondusif dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.

Selain itu, usaha ini adalah untuk memupuk semangat setia kawan dan sikap tanggungjawab di kalangan penghuni kuarters supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran mereka.

Gotong-royong ini bermula seawal jam 7:00 pagi dan berakhir pada jam 1:30 tengah hari.

Gambar 2Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah memotong rumput, mencantas dan menanam pokok, melupuskan barang-barang buangan serta membersihkan longkang-longkang yang bertakung.

Program ini diketuai oleh Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran, Raja Ahmad Hidzir Raja Muhamad.

Beliau mengingatkan semua penghuni kuarters agar sentiasa menjaga kebersihan tempat tinggal serta mematuhiperaturan menduduki kuarters.

“Kami mengutamakan kesihatan dan keselamatan warga kerja yang tinggal dalam kawasan loji rawatan air sentiasa terjamin,” kata Raja Ahmad.

Beliau juga menyatakan bahawa gotong-royong membersihkan kuarters-kuarters Air Selangor lain di LRA Sungai Manggis dan Salak Tinggi akan diadakan masing-masing pada bulan September 2017 dan Disember 2017.
=EZY=


Pengarang :