Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

1MDB: MB fail tindakan mahkamah terhadap KPN

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan tindakan mahkamah terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar memaksa penangkapan dan ekstradiksi Low Taek Jho atau Jho Low.

Tindakan itu dibuat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama peguam N Surendran yang menyaksikan Mohamed Azmin selaku plaintif, manakala Khalid sebagai defendan.

Perintah itu bertujuan memaksa defendan mengambil langkah perlu membawa Jho Low ke Malaysia menghadapi tindakan sewajarnya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas permohonan berkenaan, Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil tindakan itu supaya KPN menjalankan tugas seperti termaktub di bawah Akta Polis.

“KPN bertanggungjawab menyiasat seorang suspek yang sudah melakukan jenayah.

IMG_20170814_144429“Ia bukan bertujuan peribadi terhadap KPN tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya ingin mengingatkan beliau ada tanggungjawab melaksanakan tugas bagi memastikan amalan jenayah di dalam atau luar negara membabitkan rakyat Malaysia mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memberi notis secukupnya kepada KPN untuk memberi maklum balas dan arahan supaya Jho Low ditangkap serta dibawa pulang tetapi Khalid dalam kenyataannya mahu bertemu Mohamed Azmin di mahkamah.

Beliau turut berharap perkara itu dilakukan segera kerana dunia sedang mengambil tindakan terhadap semua individu yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Pada 2 Ogos lalu, Ahli Parlimen Gombak itu memfailkan notis menerusi peguam, Latheefa Koya yang memberi tempoh 14 hari dari tarikh notis (1 Ogos 2017) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Jho Low dan tindakan undang-undang akan diambil jika beliau gagal berbuat demikian.


Pengarang :