Selangorkini
NASIONAL

1MDB: Siasat semula berdasarkan maklumat saman DOJ

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Pakatan Harapan menyerahkan satu memorandum menggesa Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim menyiasat semula skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan maklumat saman dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, BNM perlu menyiasat perkara itu secara proaktif dan telus serta bersedia memberi kerjasama berkenaan isu terbabit jika perlu demi rakyat Malaysia juga integriti sistem kewangan negara.

“Kami juga meminta BNM menyiasat kesahihan pelaburan ‘unit’ yang pada seketika waktu bernilai USD2.318 bilion yang sebelum ini disimpan di dalam akaun Bank BSI, Singapura sebagai bank pemegang amanah.

“Kami percaya kegagalan 1MDB menebus pelaburan ‘unit’ itu untuk membayar hutang kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) menjejaskan integriti sistem kewangan Malaysia,” katanya.

Memorandum itu turut menyatakan dakwaan penyaluran USD732.3 juta ke dalam akaun AmBank yang dimiliki Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak antara Februari 2011 hingga Jun 2014.

unknownSelain itu, USD620 juta turut didakwa dihantar ke luar negara, pada 26 Ogos 2013 daripada akaun AmBank sama ke akaun syarikat Tanore Finance Corporation di BSI Bank, Singapura.

Wan Azizah bersama 30 ahli parlimen lain sebelum itu berarak dari Bangunan Parlimen ke Bank Negara sambil membawa kain rentang bertulis ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’.

Beliau kemudiannya masuk ke bangunan Bank Negara sekitar jam 9.35 pagi sebelum keluar 20 minit kemudian.

Memorandum itu diterima Ketua Pusat Perhubungan Bank Negara, Mazlan Arifin dan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik, Lee Poh Fong.


Pengarang :