Selangorkini
SELANGOR

46,400 unit penapis minyak tiruan kenderaan dirampas

SHAH ALAM 1 OGOS: Sebanyak 46,400 unit penapis minyak tiruan kenderaan bernilai RM464,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor hari ini.

BH ONLINE melaporkan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam, berkata rampasan dijalankan berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menahan sebuah kontena kerana disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.

“Penapis minyak tiruan ini dipercayai untuk pasaran di dalam negara yang diimport.

“Penapis minyak tiruan ini dipercayai dijual pada harga sama dengan produk tulen iaitu sekitar harga RM12 hingga RM15 seunit.

“Kami mengesyaki perbuatan ini didalangi oleh sindiket serta masih mengesan pihak yang bertanggungjawab itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan barangan palsu.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM15,000 untuk pertubuhan atau syarikat bagi setiap satu barang atau RM10,000 bagi pesalah individu untuk setiap satu barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu untuk menyalurkan maklumat di laman web KPDNKK iaitu www.kpdnkk.gov.my atau talian 1800-886-800.

=EZY=


Pengarang :