Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

500 pelajar UNISEL minat sertai sukarelawan antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 500 pelajar Universiti Selangor (UNISEL) menunjukkan minat untuk menyertai aktiviti sukarelawan antarabangsa, kata Timbalan Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 250 pelajar dipilih selepas satu sesi temu duga dijalankan untuk menyertai aktiviti sukarelawan UNISEL dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM).

“Pihak Comnet bersama GPM melaksanakan temu duga bagi sukarelawan antarabangsa, baru-baru ini yang dihadiri 500 pelajar Kampus Bestari Jaya dan Shah Alam.

“Ini menunjukkan semangat kesukarelawan berada dalam hati pelajar. Di hadapan saya inilah bakal sukarelawan yang akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UNISEL dengan GPM di UNISEL Kampus Shah Alam di sini, hari ini.

Katanya, penglibatan dalam aktiviti kesukarelawan adalah pengalaman berharga yang tidak dimiliki semua pihak.

Sementara itu, pada program sama, Pengerusi GPM, Ahmad Azam Abdul Rahman turut menyampaikan ceramah yang menerangkan pengalaman beliau sebagai aktivis sukarelawan kemanusiaan dan keamanan dalam dan luar negara.


Pengarang :