Selangorkini
EKONOMI NASIONAL

82% pengundi setuju GST punca kenaikan kos sara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sebanyak 82 peratus responden setuju apabila diajukan kenyataan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan punca utama kenaikan kos sara hidup.

Dapatan itu diperolehi melalui Kaji selidik dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) ‘Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa’.

Kajian itu melibatkan 4,486 responden daripada 12,082,403 pengundi seluruh Semenanjung Malaysia itu menunjukkan 42 peratus setuju dan 40 peratus lagi sangat setuju berbanding hanya 10 peratus kurang setuju, lima peratus tidak setuju dan tiga peratus lagi sangat tidak setuju.

Kajian yang dijalankan pada 11 hingga 16 Ogos lalu itu turut menunjukkan faktor ekonomi menjadi keprihatinan utama responden apabila ditanya ‘isu yang menjadi keprihatinan anda terhadap negara’.

GSTSebanyak 76 peratus responden menganggap isu inflasi merupakan isu yang menjadi keutamaan mereka dan 47 peratus kenaikan kos sara hidup, 27 peratus isu kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial, 23 peratus jenayah dan keganasan dan 21 peratus memilih isu pengangguran / peluang pekerjaan terhad.

Sementara itu, apabila ditanya pandangan responden berhubung situasi ekonomi negara dalam tempoh dua tahun akan datang berdasarkan situasi semasa, sebanyak 21 peratus menjangkakan sangat merosot, 43 peratus menjawab merosot dan 25 peratus kurang merosot.

Sementara itu, hanya satu peratus sahaja menjangka ekonomi negara sangat meningkat dan lapan peratus lagi menjangkakan ekonomi negara akan meningkat.

Bagi soalan pandangan responden terhadap kualiti hidup rakyat Malaysia dua tahun kebelakangan ini pula, sebanyak 18 peratus menjawab kualiti hidup sangat merosot, 53 peratus memilih merosot dan 23 peratus memilih sederhana.

Selain itu, 23 peratus lagi menganggap kualiti hidup akan meningkat dan satu peratus lagi menganggap sangat meningkat.

=EZY=


Pengarang :