Selangorkini
NASIONAL

Anwar ramal kebangkitan China 21 tahun lalu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meramalkan kebangkitan ekonomi China dalam buku tulisannya, ‘The Asian Renaissance’, kira-kira 21 tahun lalu,

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, buku diterbitkan pada 1996 itu ditulis semasa bapanya masih berada dalam kabinet kerajaan pimpinan perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“The Asian Renaissance meramalkan China akan berada pada kedudukannya, hari ini bagi menentukan kejayaan mereka sebagai satu negara,” katanya ketika forum yang membicarakan isu pelaburan China di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini, malam tadi.

Pada 1996, buku ‘The Asian Renaissance’ mendapat sambutan luar biasa dan dianggap sebagai bahan bacaan ‘wajib baca’ oleh kebanyakkan ahli ekonomi juga akademi dalam serta luar negara.

Buku itu kemudiannya turut dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan masih beredar di pasaran sehingga kini.

Sementara itu, ketika menyentuh pelaburan China di Malaysia, Nurul Izzah berkata, pelaburan dibuat hendaklah memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menuntut kerajaan lebih telus mendedahkan maklumat pelaburan China di Malaysia untuk dibincangkan di Dewan Rakyat.

“Sebagai ahli parlimen, saya sendiri tidak mendapat akses terhadap maklumat terbabit ekoran perkara itu hanya dibincangkan di dalam mesyuarat anggota kabinet kerajaan sahaja,” katanya.


Pengarang :