Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2018: Jangan berterusan potong dana pendidikan

OLEH SANDREA NG

Saya ambil maklum kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang memohon kerajaan supaya tidak terus memotong dana bagi kementerian dinaunginya.

Saya khuatir sekiranya pada bajet 2018 nanti pemotongan turut berlaku menyebabkan kualiti pendidikan tinggi negara terjejas.

Sekiranya perkara ini berterusan, generasi muda atau mahasiswa terkesan dengan kos pengajian yang semakin meningkat dan jumlah penyelidikan akademik berkurangan.

Sudah hampir setahun belanjawan 2017 berlalu, mengapa baru kini Idris Jusoh hendak menyuarakannya? Mengapa tidak pada sesi perbahasan bajet lalu?

Pada pembentangan bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu memperuntukkan sebanyak RM12.1 bilion untuk kementerian berbanding RM13.378 bilion pada Bajet 2016 dan RM15.785 bilion pada Bajet 2015.

Beberapa kelemahan di dalam bajet 2017 lalu memberi gambaran jelas seolah-olah kerajaan Umno BN membentangkan bajet anti-pendidikan.

Saya mendesak agar kerajaan dapat membuat penilaian semula supaya sektor pendidikan dijadikan sebagai bidang utama negara untuk terus mendapat perhatian yang sewajarnya demi masa depan negara.

* Sandrea Ng adalah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN


Pengarang :