Selangorkini
SUKANKINI

Baki empat perlawanan penting buat PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Tempoh rehat Liga Super dan TM Piala Malaysia hampir empat minggu bagi memberi laluan kepada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) digunakan sepenuhnya PKNS FC bagi memperbaiki prestasi pasukan supaya sasaran untuk kekal dalam liga musim ini tercapai.

Jurulatihnya, Sven Gartung berkata, beliau mengatur sesi latihan dan beberapa perlawanan persahabatan untuk mengekalkan prestasi pemain bagi menerapkan corak permainan berbeza selain mengharapkan beberapa pemain yang cedera sebelum ini kembali pulih.

“Kita sudah memulakan latihan sejak awal minggu ini dan beberapa siri perlawanan persahabatan akan diadakan.

“Saya ingin memperbaiki corak permainan mereka seperti yang dimahukan selain mengharapkan beberapa tonggak utama seperti Safee Salee kembali cergas sepenuhnya bagi menghadapi baki saingan musim ini,” katanya.

Beliau ketika ditemui SelangorKini berkata, tumpuan pastinya diberikan untuk pertemuan terakhir aksi kumpulan TM Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur untuk sekurang-kuranya mencatat satu kemenangan walaupun merekas sudah tersingkir daripada saingan.

“Walaupun kita sudah terkeluar, kita tetap mahu menang dan saya tidak suka kekalahan. Saya tidak mahu PKNS keluar daripada saingan TM Piala Malaysia tanpa sebarang kemenangan,” katanya.

Bagi baki Liga Super, PKNS FC dijadualkan bertemu Selangor dan Felda United di Shah Alam manakala Kelantan, di Kota Bharu bulan hadapan.

Menurutnya, aksi baki perlawanan liga sangat penting kerana semua pasukan kini cuba mengutip mata maksimum bagi mengelak tergelincir ke Liga Perdana musim hadapan.

Selepas 19 perlawanan berlalu, PKNS FC berada di tangga ketujuh liga dengan mengutip 21 mata dan diekori rapat T-Team, Kelantan, Melaka United dan Sarawak dengan perbezaan kurang empat mata.

=EZY=


Pengarang :