Selangorkini
PBT SELANGOR

Bas Smart Selangor diperluas ke dua laluan baru Ampang Jaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka dua lagi laluan Bas Smart Selangor yang beroperasi dalam tempoh setahun dengan kos operasi ditanggung Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan itu.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussian berkata, berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Selangor Bil.3/2017 pada 20 Disember 2016, MPAJ akan menanggung kos laluan LRT Cempaka dan Taman Bukit Teratai membabitkan jarak 6.2 kilometer (km).

“Bas Smart Selangor turut melintasi Jalan Pandan Utama dan Jalan Pandan Aman serta MPAJ akan menaggung operasi tiga bas dalam tempoh setahun dengan kos termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM939,690,” katanya.

Bagi laluan yang ditanggung Kerajaan Negeri, ia bermula di Bandar Baru Ampang (Pangsapuri Sri Nilam) menyelusuri Taman Cahaya dan Taman Dagang Jaya (Aeon Big Ampang).

Membabitkan jarak perjalanan keseluruhan 12.3km dan empat bas, kos operasi termasuk GST yang ditanggung berjumlah RM1.252 juta.

MPAJLaluan itu dipecahkan kepada dua laluan bergerak serentak bagi mengelakkan tempoh perjalanan lama iaitu AJ02A melalui Jalan Wawasan (Sri Nilam)-Taman Ampang Mewah-Taman Cahaya-Jalan Dagang Besar-Jalan Ampang (LRT Ampang).

AJ02B melalui Jalan Wawasan (Sri Nilam)-Jalan Ampang (Waterfront)-Jalan Taman Putra (Aeon Big Ampang)- Taman Sri Baru (Ampang Campuran).

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi penambahan laluan dan penambahbaikan perkhidmatan Bas Smart Selangor di semua PBT di Selangor bagi tahun 2017.


Pengarang :