Selangorkini
GLOBAL

Bekas PM Thailand mungkin lari ke Singapura

BANGKOK 26 OGOS: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, dikatakan sudah melarikan diri dari negara itu sebelum mahkamah membabitkan kesnya bersidang.

Mahkamah Agung menetapkan tarikh baharu 27 September depan untuk keputusan kes itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Yingluck kerana tidak mempercayai alasan beliau gagal hadir kerana menghidap sakit telinga.

Sumber yang rapat dengannya memberitahu Yingluck sudah meninggalkan Thailand tetapi tidak menjelaskan di mana dia berada, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS dan AFP.

Ada pihak mendakwa bekas perdana menteri wanita pertama itu kini berada di Singapura.

Yingluck, 50, yang mana keluarganya menguasai politik Thailand selama lebih 15 tahun, gagal muncul di mahkamah untuk keputusan penghakiman dalam kes kecuaian membabitkan skim subsidi beras untuk petani.

Yingluck yang digulingkan pada 2014, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, bagaimanapun memberitahu media, adalah mustahil Yingluck melarikan diri.

Peguam Yingluck, Norrawit Lalaeng, berkata bekas pemimpin itu mengalami masalah ketidakseimbangan cecair telinga menyebabkan tidak dapat hadir ke mahkamah.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada anak guamnya masih berada dalam negara, manakala jurucakap Yingluck enggan mengulas.

=EZY=


Pengarang :