Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018 fokus pembangunan belia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Belanjawan Selangor 2018 dijangka akan memfokuskan golongan belia iaitu tunjang kepada pembangunan sesebuah negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Selangor mempunyai pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membabitkan semua peringkat, bahkan rizab yang tinggi membolehkan negeri itu memfokuskan pelbagai golongan.

“Program IPR hanya di Selangor. Tiada satu negeri yang mempunyai program terbaik seperti ini antaranya program Peduli Sihat. Di Johor dan Perak atau negeri lain tidak ada.

“Begitu juga program kepada peniaga untuk membesarkan perniagaan termasuk yang tiada modal.

Azmin“Menerusi program ini, kita membantu ramai peniaga bukan Nasi Lemak Anak Dara sahaja tapi bila saya turun Umno marah kata makcik tua tidak tolong,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil kira dan menjadikan pembangunan anak muda sebagai fokus tahun depan.

“Bagi program Hijrah, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM240 juta kepada 35,000 peniaga. Manakala, sejumlah RM1.92 bilion sudah dibelanjakan bagi keseluruhan program IPR dan kita mempunyai rizab hampir RM4 bilion, setakat ini.

“Jika kita tidak belanjakan bagi program itu, rizab akan melebihi RM6 bilion. Namun, saya percaya lebih banyak memberi, lebih banyak pulangan yang kita akan dapat,” katanya.


Pengarang :