Selangorkini
SELANGOR

Bina tangki air sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pemaju kawasan baru di Puchong Prima disyaratkan membina sistem tangki persendirian yang mampu menampung kegunaan dua hari simpanan bagi projek pembinaan rumah bertingkat.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, sistem bekalan air di Puchong Prima diambil alih Jabatan Bekalan Air Selangor (kemudiannya SYABAS) daripada pemaju kawasan itu, pada 1999.

Katanya, permohonan pelan sistem bekalan air luaran kepada pemaju pembangunan empat blok pangsapuri baru diluluskan setelah mengkaji permintaan dan bekalan bagi pihak terbabit.

“Oleh kerana pembangunan baharu ini bercirikan ‘high-rise’ (rumah bertingkat), SYABAS mensyaratkan pemaju membina sistem tangki dalaman persendirian dengan dua hari simpanan.

“Berdasarkan sistem tangki dalaman yang akan dibina bagi blok pangsapuri baru ini, bekalan air kepada penduduk Puchong Prima tidak akan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Puchong Prima membantah pengambilan air daripada tangki Puchong Prima bagi kegunaan penduduk di kawasan perumahan baru yang dianggarkan berkapasiti 15,000 orang.

Bantahan dibuat kerana mereka tidak yakin kemampuan dua tangki sedia ada bagi menampung bekalan kerana setakat ini ia digunakan lebih 25,000 pengguna setempat sejak dibina, pada 20 tahun lalu.

Persoalan turut timbul apabila perumahan baru yang jauh lebih besar tidak perlu membina tangki baru sedangkan pemaju yang membina Rumah Selangorku hampir 450 unit diarahkan membina tangki air sendiri.


Pengarang :