Selangorkini
EKONOMI

BNM: Kami bukan punca Ambank-RHB gagal gabung

KUALA LUMPUR 27 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia tidak pernah dan tidak akan campur tangan dalam rundingan antara mana-mana pihak berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan dalam industri perbankan termasuk perbincangan membabitkan Ambank-RHB yang berakhir dengan kegagalan.

Bernama memetik kenyataan BNM berkata aktiviti-aktiviti ini didorong oleh pasaran, yang mana sebahagian besarnya berdasarkan kepada pertimbangan komersial dan perniagaan dan bank pusat memainkan peranan sebagai pembantu dalam memudahkan proses penggabungan.

BNM berkata demikian sebagai reaksinya kepada sebuah artikel akhbar tempatan yang bertajuk “What led to the collapse of Ambank-RHB deal” yang disiar kelmarin, yang mana bank pusat menganggapnya sebagai tidak tepat dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri perbankan.

“Dalam melaporkan perkara seperti itu, memberikan pandangan yang adil dan seimbang perlu menjadi norma pemberita. Apa-apa sindirin atau tuduhan yang dibuat terhadap pihak-pihak tertentu perlu disertakan dengan komen dan maklum balas daripada pihak-pihak terbabit.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)“Penggabungan dalam sektor perbankan dipacu terutamanya oleh pertimbangan perniagaan institusi perbankan itu sendiri.”

Justeru kata BNM, amatlah tidak tepat dan malahan tidak wajar bagi artikel itu untuk merumuskan yang janji niaga itu nampaknya gagal kerana bank pusat adalah satu-satunya pihak yang mendesak ia dilaksanakan.

BNM menambah pemberita perlu adil, bertanggungjawab dan profesional dalam penyelidikan dan ulasan mereka.

BNM berkata ia memberikan kelulusan kepada pihak-pihak terbabit untuk membincangkan dan merundingkan janji niaga itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Semasa tempoh ini, pihak-pihak akan menjalankan penilaian menyeluruh bagi penggabungan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

“Ini termasuk penilaian potensi sinergi, serta risiko yang timbul daripada model perniagaan, operasi dan sistem mereka masing-masing dan selepas mengambil kira analisis menyeluruh dari segi maklumat kewangan dan bukan kewangan,” kata BNM.

Bank pusat berkata, ia juga merupakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah entiti masing-masing untuk memastikan penggabungan itu akan mengambil kira kepentingan terbaik pemegang kepentingan, terutamanya pendeposit dan pemegang saham.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :