Selangorkini
SELANGOR

Borang 5A diserah, penduduk Perwira Jaya berhak miliki tanah

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 5 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan dan menyegerakan penyerahan borang 5A kepada penduduk Kampung Perwira Jaya, di sini, kerana mereka berhak memilikinya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berikutan itu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah berlarutan puluhan tahun itu.

“Sebenarnya tidak perlu dipohon, mengapa rakyat harus memohon bertahun-tahun sedangkan ia adalah hak mereka.

“Agenda utama kita ialah meluluskan notis 5A kepada rakyat dan bukan kepada pemimpin.

“Ini kerana mereka (pemimpin) tidak berhak mendapat tanah kerajaan di dalam Selangor,” katanya dalam Majlis Penyerahan Borang 5A di Kampung Perwira Jaya, di sini, hari ini.

344A4220Mohamed Azmin menyerahkan notis itu kepada 20 penduduk kampung itu.

Turut hadir, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahamd Ahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussien serta hadirin lain.

Dato’ Menteri Besar berkata, difahamkan sebahagian besar penduduk di kampung dibuka seawal kira-kira 1975 itu ialah anggota tentera yang telah mencurah khidmat bakti menjaga kedaulatan negara maka sewajarnya mereka diberikan keutamaan bagi mendapatkan hak berkenaan.

“Kerajaan Negeri juga mengambil maklum akan nilai tanah yang tinggi di Selangor berikutan pembangunan pesat yang berlaku di Lembah Klang.

“Sebagai kerajaan peduli rakyat yang memahami ketidakmampuan rakyat bagi membayar premium tanah maka Kerajaan Negeri memutuskan penduduk hanya perlu membayar RM1,000 dengan syarat tidak menjual tanah diserahkan,” katanya.

Dalam majlis berasingan, Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan Skim Mesra Usia Emas kepada 10 pewaris dan RM286,000 kepada 35 peserta program HIJRAH di Kampung Bukit Sungai Putih, di sini.

=EZY=


Pengarang :