Selangorkini
AGAMA SELANGOR

‘Cari, siasat dan bantu’ penuhi keperluan asnaf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Usaha mencari individu atau keluarga yang layak menerima bantuan diteruskan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi program turun padang bersama Skuad Jejak Kemiskinan (SJK).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussin Md Ali berkata, operasi bersifat ‘cari, siasat dan bantu’ itu bertujuan mengenalpasti golongan memerlukan serta disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin atau mualaf.

Katanya, menerusi bancian itu, keluarga yang layak akan didaftarkan untuk menerima bantuan membabitkan yuran dan kelengkapan sekolah, Ramadan serta hari raya.

“Matlamat LZS adalah menangani kemiskinan di Selangor iaitu golongan yang layak, namun masih belum disantuni atas beberapa faktor.

“LZS akan turun rumah ke rumah bagi menyemak keperluan berdasarkan garis penentuan kemiskinan,” katanya yang menyertai SJK di Perkampungan Orang Asli Batu 12, Gombak, baru-baru ini.

Menerusinya, LZS menjejak 40 keluarga di Perkampungan Orang Asal di kawasan sekitar.

Selain itu, skuad terbabit turut menjejak keperluan lain bagi umat Islam menerusi agihan zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.


Pengarang :