Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

Debat dan pidato medan pemikir muda bertukar idea

OLEH AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 27 OGOS: Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor (DPYS) kembali untuk edisi kesembilan tahun 2017 dengan penyertaan 138 pelajar bertempat di Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya.

Sebanyak 21 pasukan debat, 31 pemidato Bahasa Melayu dan 24 pemidato Bahasa Inggeris menyertai DPYS daripada pelbagai jenis sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Swasta.

Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Zahura Zakry berkata, kemahiran berkomunikasi dan berfikiran kritis menjadi antara kriteria yang perlu ada untuk melangkah ke alam pekerjaan masa kini.

IMG_3852“Debat dan pidato dilihat antara platform bukan sahaja untuk mengasah bakat komunikasi pelajar tetapi untuk meningkatkan ilmu pengetahuan serta mengasah minda peserta.

“Ini kerana tajuk dan usul dibahaskan berkisar kepada isu-isu dunia, ekonomi, sains, teknologi dan undang-undang yang tidak diperoleh di bilik darjah.

“Kemampuan untuk berbicara dengan petah adalah senjata ampuh untuk mempertahankan diri daripada mudah dimanipulasi orang sekeliling,” katanya.

Dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Debat dan Pidato Yayasan Selangor Kali Kesembilan Tahun 2017 di Dewan Canselor UNISEL beliau mengharapkan DPYS ini akan terus menjadi medan pertemuan penting bagi pemikir muda bertukar pandangan

DPYS yang diasaskan oleh Kelab Debat Asrama Yayasan Selangor Klang mula dianjurkan buat pertama kali pada 2005.

Pertandingan akhir pidato akan berlangsung pada Ahad, 27 Ogos manakala debat perdana akhir dilangsungkan pada Isnin, 28 Ogos.

=EZY=


Pengarang :