Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Dukung semangat perpaduan kekal keharmonian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Rakyat Selangor diseru mendukung semangat kepelbagaian kaum, bangsa dan agama dengan menitik beratkan aspek perpaduan untuk mengekalkan Selangor sebagai negeri harmoni.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyatuan dan permuafakatan dipupuk mampu menjadi teras kepada pembentukan negara dengan bangsa utuh.

“Sebagai generasi pewaris, menjadi tanggungjawab kita memaknai semula erti kemerdekaan dengan menitikberatkan aspek kemasyhuran negara.

“Justeru, kita perlu rai kepelbagaian kaum, bangsa dan agama dengan memberi tumpuan mengangkat nilai kesamarataan dalam nilai masyarakat.

“Mari kita berpegang teguh atas prinsip perpaduan untuk tempoh 60 tahun ini dan terus mengekalkan selamanya. Inilah prinsip Selangorku Sehati Sejiwa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor, di sini.

Terdahulu, beliau mengetuai laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali sebagai simbolik sambutan kemerdekaan peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Ungkapan keramat ‘Merdeka’ itu kemudiannya disambut lebih 10,000 warga Selangor yang hadir memeriahkan suasana.


Pengarang :