Selangorkini
SELANGOR

Elak insiden berulang, pantau kebersihan premis kesihatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 20 OGOS: Kerajaan Negeri mengarahkan pengurusan hospital supaya lebih peka terhadap aspek kebersihan premis kesihatan seluruh negeri.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi menegaskan ia sebagai jaminan bagi memastikan aspek kebersihan berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan masyarakat.

“Walupun isu kebersihan dan pengurusan hospital adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun di peringkat Kerajaan Negeri, kita turut peka terhadap isu ini.

“Isu kebersihan premis kesihatan perlu diberi perhatian semua pihak supaya insiden sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberitaketika ditemui pada Karnival Majlis Perbandaran Ampang Jaya 2017 di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, pagi ini.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seekor tikus sedang makan di atas sekeping kobis, di kaunter makanan kantin sebuah hospital yang didakwa berlaku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Kejadian didakwa dirakam di kantin HTAR, namun tidak dapat dipastikan waktu dan tempat video kejadian dirakam.

Bagaimanapun, Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Ming berkata, kejadian itu tidak dapat dipastikan lagi sama ada berlaku di hospital berkenaan.

Susulan insiden berkenaan, pengurusan HTAR mengarahkan penutupan kantin, sebelum dibuka semula lewat Jumaat, lalu.

Dr Ding Lay Ming berkata, pembukaan semula kantin berkenaan dibuat selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang membuat penilaian semula terhadap tahap kebersihan kantin HTAR dan meluluskan untuk pembukaan semula selepas premis itu mematuhi syarat-syarat ditetapkan, lapor Bernama.

PKD Klang mengeluarkan notis arahan penutupan kantin itu kira-kira jam dua petang Jumaat selepas melakukan pemeriksaan susulan video seekor tikus berada di dalam bekas sayur yang dihidangkan kepada pelanggan, tular di laman media sosial.

=EZY=


Pengarang :