Selangorkini
SASTERA

Enigma

OLEH Shahril  Anuar

PERCAYALAH, aku bukan penulis cereka. Dan ini juga bukanlah cerita tentang aku. Tetapi tentang Fath, kawan serumahku, penulis sepenuh masa yang telah menerbitkan beberapa buah buku. Tetapi  aku tak tahu adakah itu sekadar nama penanya. Seperti mana aku  tak pernah tahu nama sebenarnya;  Fatah atau Fathi. Dulu, waktu mula tinggal serumah, hanya sekali aku membaca ceritanya. Tidak seperti Fath, sastera sangat asing buat aku. Sesekali berselisih, kami lebih senang berbual soal lain.

Kami tinggal berdua; menyewa apartmen dua bilik di pinggir ibu kota. Aku tak tahu sejauh mana kerja menulis dapat menampung hidupnya. Setakat ini, tidak pernah pula dia mengeluh soal kewangan. Sebagai kawan sebumbung; yang menjalani kehidupan masing-masing, kami tiada sebarang masalah.

Tetapi semalam, tanpa sebab yang pasti, dia meminta aku membaca manuskrip cerpen terbarunya. Awalnya, aku bersikap dingin, meminta dia menceritakannya sahaja, tanpa perlu aku membaca. Cerita ini untuk dibaca, bukan untuk diceritakan, jawab Fath.

“Aku manalah tahu pasal sastera semua ini.” Mengingatkan pengalaman pertama membaca ceritanya yang gagal aku fahami, aku terus berdalih.

Bukan itu masalahnya, sanggah  Fath. Apa masalahnya? Cerita  yang aku tulis dah jadi ganjil. Dah kau tulis yang ganjil-ganjil,  memanglah jadi ganjil. Bukan itu maksud aku. Habis? Entahlah,  tiap-tiap kali aku cuba ulang baca, aku cuma berani baca muka surat pertama, ceritanya semakin berubah. Dah kau ubah, berubahlah cerita kau. Aku tak ubah  apa-apa. Dan apa pula maksudnya:  ‘kau  cuma  berani’? soalku. Ceritanya menakutkan.  Cerita hantu? Bukan, cerita tentang aku. Dah kau tulis pasal diri  kau, jadilah cerita pasal kau. Bukan, aku tak pernah tulis pasal aku.

“Kau tak faham!” Fath seperti sedang bergelut mengulum kemarahannya. Gelisah melanjutkan:

Asalnya, dia menulis cerita tentang penulis yang mencipta watak yang memberontak terhadap penulisnya; dengan cara menjadi penulis  – yang kemudian mencipta watak lain yang memberontak kepadanya pula. Sehinggakan watak penulis di dalam cerita Fath,  tidak dapat mengawal wataknya lagi. Begitu juga watak ciptaannya,  tidak dapat mengawal ceritanya. Masing-masing mahu menentukan haluan sendiri, membuatkan cerita di dalam cerita itu terus berubah.

Anehnya, cerita Fath sendiri turut berubah.

“Seolah-olah,” tokok Fath lagi, “watak yang aku tulis itu pula sedang  memberontak kepada aku.”

“Cerita apa macam itu? Apa penamatnya?”

“Itulah yang aku takutkan. Siapa yang berani tahu penamatnya, kalau itu cerita dirinya sendiri?”

Aku mula keliru. Bukan dengan cerita Fath.

Fath mengeluh lagi. “Masalahnya, bukan itu yang aku tulis.”

Semakin sukar aku memahaminya, malah Fath juga mengaku, dia  sendiri bingung. Percayalah, jika aku tahu apa yang bakal terjadi, aku juga tidak akan berganjak dengan pendirianku. Tetapi Fath terus  mendesak.

Nantilah, sebelum tidur, aku baca, kataku. Lebih kerana mahu mengalihkan perbualan dari terus berbelit.

Fath menyuguhkan tiga keping kertas A4 bersih ditaip sebelum mengurungkan diri dalam  bilik. Memang tingkahnya ganjil, tapi aku harap dia masih siuman.

Malamnya, aku cuba membaca cerita Fath: Permulaannya menceritakan watak aku yang tertidur ketika membaca cerita lalu bermimpi membaca cerita itu, hingga kesiangan esoknya.

Tetapi aku terlelap sebelum usai membaca muka surat pertama.

Dan aku bermimpi membaca cerita: Tentang aku yang tertidur ketika  membaca cerita: Kisah aku yang tertidur ketika membaca cerita  sebelum bermimpi membaca cerita itu. Deskripsi watak-watak tunggal cerita-cerita itu seperti aku.

Semalaman, sukar sekali tidurku pulas.

Pagi.

Aku telat. Sempat juga aku menyalahkan Fath kerana meminta aku  membaca ceritanya sebelum meluru ke kakus.

Bedebuk! Aku tersembam di muka pintu.

Aku terjaga. Terlewat seperti watak cerita Fath. Bukan, seperti watak  cerita Fath yang aku baca dalam mimpi. Bukan, mungkin sebenarnya  aku masih membaca cerita itu dalam mimpi. Bukan, mungkin aku masih menjadi aku di dalam cerita yang aku baca dalam mimpi.

Bukan, aku sudah benar-benar terlewat ke pejabat!

Dalam kegapahan melangkah, aku tertumus.

Beberapa  saat aku termanggu di muka pintu. Adakah aku masih  bermimpi? Atau sebenarnya, aku hanya hidup dalam dunia cereka?

Sekali lagi aku membaca cerita  Fath. Permulaannya: Watak aku  terlewat bangun kerana membaca cerita sebelum bermimpi membaca cerita. Mengulang baca cerita itu semula, sebelum terlelap lagi untuk bermimpi membaca cerita. Semakin bingung setelah terjaga.

Lalu aku terlelap dan bermimpi membaca cerita.

Tidak, tak mungkin aku hanya hidup dalam dunia cerita!

Teriakku sebaik terjaga.

Aku mesti bersemuka dengan Fath untuk menentang cerita yang  ditulisnya. Ini satu pencabulan yang tidak dapat dimaafkan! Apa  perlunya dia menulis cerita mengarut tentang penulis yang mahu wataknya sendiri menentangnya. Mengapa pula mesti aku dilibatkan? Tapi, bukankah itu seperti pemberontakan terang-terangan kepadanya, seperti yang dia mahu? Mungkin aku harus berdiam diri. Bagaimana pula kalau mendiamkan diri itulah pemberontakan senyap yang dimahukan si keparat itu?

Sedetik, aku tersentak.

Aku seperti watak ciptaan penulis dalam cerita Fath, yang mahu memberontak; dan aku juga seperti Fath, yang membaca cerita dirinya yang terus berubah.

Siapakah aku?

Aku sendiri bahkan mula curiga dengan suara yang bergema dalam kepalaku sekarang. Mungkin itu juga bukan suara aku.

Malah, sedari awal, cerita ini juga sepatutnya bukanlah cerita tentang aku. Tetapi cerita telah berubah. Sedangkan aku bukanlah penulis cereka. Tidakkah kaupercaya?

Benar…  hidup adalah penjara enigma.


Pengarang :