SASTERA

ESKAPE

Oleh An Nasaie

AKU pandang jam digital yang tergantung pada sebatang tiang.

4:20 PM.

Masa itu relatif, kata cikgu Nafisah semasa di dalam makmal Sains waktu aku darjah lima. Aku mengangguk tanda pura-pura faham. Sehingga aku membaca Haruki Murakami yang membuat waktu itu bergerak perlahan dan lama kelamaan berhenti dengan sendirinya. Kesedaranku larut dalam lembaran kertas kekuningan dengan bau harum buku masih bergantungan pada bulu hidungku.

Masa tidak lagi bergerak linear, kata Aiman ketika dia menghidu gam semasa kami ponteng sekolah. Waktu itu dia sibuk memancing bulan pada tengah hari. Aku angguk tanda main angin. Sehingga aku berjumpa dengan May Kasahara, seorang gadis Jepun dengan wajahnya diukir senyuman buat aku teringat pada Melissa Benoist.

May Kasahara bertubuh  kurus, buah dadanya nyaris tidak kelihatan. Dia menegurku bertanyakan platform ke Bangi ketika aku dan ribuan manusia terperangkap menunggu tren yang mengalami masalah teknikal. Dia boleh berbahasa Melayu. Aku dan May Kasahara sudah terperangkap dalam gagasan waktu dengan manusia di sekelilingku bergerak pantas kecuali kami. Dia duduk di sebelahku dan senang bercerita tentang wig rambut dan kawannya yang terperangkap di dalam perigi buta.

May mengajakku ke satu tempat. Dia menuntun tanganku. Aku seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Hanya membuntutinya. Aku elak berimaginasi liar seperti menanggal bra atau mengucup leher May. Masih terlalu awal.

Kami menyelinap dalam keramaian. Dia cakap kita naik bangunan ini. Buat apa? Tanyaku. Dia tak menjawab. Bangunan ini seperti tempat parkir kereta bertingkat. Tiba-tiba aku teringat kata-kata emak semasa umurku lima tahun, jangan ikut orang yang kita tidak kenal. Kenal nama sudah cukup, bukan? Lalu aku abaikan kata-kata emak itu. Aku lihat figura emak berkecai menjadi gumpalan asap lalu terbang ke langit.

Kami melalui lif. May menekan punat empat. Roof top? Dia mengenyit matanya yang sepet itu. Sampai aras empat, kami terus keluar lif dan mendapati lobi lif tiada sebarang sumber cahaya. Pintu lif sudah tertutup. Cahaya yang ada hanya pada lubang bekas tombol pintu kecemasan. Aku tolak pintu kecemasan tapi haram sudah berkunci rantai bersama mangga sebesar penumbukku.

Tiada akses tangga. Kami terperangkap. Aku cuba tekan punat lif tapi tak berfungsi. Koc lif tidak dapat naik ke atas. Aku dongak kepala tengok pada paparan digital yang berwarna merah—G. Haram. Masih dalam kondisi tenang, aku call 999. Dapat tapi langsung tak jelas. Aku menghampiri lubang tombol pintu untuk biar suaraku lebih jelas. Tapi sama juga. Aku matikan panggilan.

Aku pandang wajah May yang terbias oleh sisa cahaya. Dia kelihatan pegun seperti arca lilin. Figura emak hampir muncul di benak, cepat-cepat kuhapuskan. Pasti dia akan membebel tidak mendengar nasihatnya. Kenapa aku  ikut perempuan ini? Panik mula bergegar di jantung. Aku tahu marah tak selesaikan masalah.

Waktu sikit-sikit memakan diri kita, kata-kata Aiman muncul tapi ia tidak membantu. Memakan diri kita seperti mentega ditoreh pisau tumpul. Cis, diam lah, Aiman!

Kegelapan buat ruang semakin panas. May mula menanggalkan kardigan birunya. Aku mula berpeluh. Dalam praktis arsitektur, pintu kecemasan harus terkuak keluar, bukan ke dalam macam pintu kecemasan ini.  Jika berlaku kebakaran, penghuni tidak boleh mengunakan lif dan hanya boleh diakses melalui tangga kecemasan. Pintu kecemasan perlu dalam keadaan tolak bukan tarik. Menarik pintu hanya akan melambatkan proses eskape. Tapi itulah, kalau aku berteori saat-saat genting sekalipun tak berguna. Perlu fikir macam mana mahu keluar sebelum hari bertukar gelap.

Aku cuba tarik pintu dari bawah. Tenagaku tidak cukup untuk mengopak pintu kalis api ini. Aku minta tolong May yang sedari tadi tercegat seperti lilin cair. Tarik sama-sama, aku beri cadangan. Aku pegang daun pintu belah kanan dan May belah kiri.

Satu, dua tiga. Cubaan pertama gagal. Cubaan kedua buat bahagian bawah daun pintu kiri terkopak. Kayunya patah. Satu lapisan simen ringan yang menjadi material utama pintu masih belum terkopak. Aku tendang simen itu sehingga pecah membentuk satu lubang yang muat untuk kami keluar.

Kami berpelukan gembira.

Rasa seperti keluar dari neraka. Huh!

Di roof top,  aku baring memandang langit terbentang. Ia membuatkan aku selesa. Tiada lagi ruang gelap dan sempit. May Kasahara membakar rokok dan menghulurkan kepadaku.

Jom turun, May beri cadangan.

Kami gunakan tangga kecemasan. Rupa-rupanya tangga kecemasan sudah di-gril pada aras tiga. Kami keluar pintu aras tiga, suasana sunyi. Aku bagi idea gunakan ramp sebab ini adalah tempat parkir kereta. Tapi haram, ramp pun sudah berpagar gril. Apa hal?

Kami berjalan mencari akses lain, di hujung sana kami nampak ada satu figura sedang berdiri. Kami gembira tanda ada orang boleh membantu. Tapi, lelaki itu berlari meluru ke arah kami sambil tangan kanannya memegang sebatang kayu. Kami tersentak dan tak sempat lari. Dia menghayunkan kayu ke arahku tapi tak kena. Badannya hilang pedoman, aku ambil peluang menendang sisi perutnya. Dia tersungkur jatuh. Aku lompat ke atasnya.

“Kami tersesat atas ini, jangan pukul kami.” Aku cuba berdamai.

Dia tak menjawab selain tersengih. Aku pelik kenapa dia sengih.

“Siapa kau?” Aku tanya

“Aku adalah diri kau.”

Aku kehairanan. Belum sempat untuk aku berfikir lebih kritis, ada bunyi bising dari belakang. Aku toleh, ada sekumpulan lelaki tak berbaju sedang menuju ke arah kami.  Kami lari menyelamatkan diri, aku terpandang satu ruang sempit di sebelah ramp. Ruang itu muat-muat untuk badan kurusku dan aku meniarap keluar. May tidak bernasib baik, kaki dan badannya ditarik, aku hanya sempat menggapai tangannya. Aku tarik sedaya-upaya hingga badan May terputus dua. Sebahagian May jatuh di atas ribaku. Wajahnya bertukar menjadi Aiman. Kerana terlalu takut aku lari dan meninggalkan May (atau Aiman?).

Aku cari tangga kecemasan di aras dua. Waktu menuju ke arah tangga, ada sekumpulan manusia mengejarku dari belakang seperti zombi. Cepat-cepat aku masuk tangga kecemasan. Mujur tiada pagar gril lagi.  Aku turun ke aras G. Mereka hampir mencekup kolar bajuku. Aku keluar ke pintu kecemasan terakhir. Aku pandang belakang, mereka tersekat tidak dapat keluar, seperti ada satu pintu halimunan yang menghalang mereka. Mereka menggelupur selepas itu mencair dan bertukar menjadi butir-butir persis pasir lantas menghilang.

Aku keluar menuju ke perkarangan orang ramai yang tidak berhenti berjalan. Mereka tidak sedar apa yang berlaku kepadaku sedari tadi?

Aku kembali ke stesen dan cuba bertenang.

Aku pandang jam digital yang tergantung pada sebatang tiang.

4:20 PM.

Di tanganku masih tergenggam novel Wind-up Bird Chronicle.


Pengarang :