Selangorkini
GLOBAL

Gangguan telekomunikasi cetus masalah penerbangan di Kanada

MONTREAL 5 OGOS: Penerbangan dan perkhidmatan kecemasan di wilayah Atlantik Kanada menghadapi ‘kekacauan’ ekoran gangguan telekomunikasi selepas sebahagian kawasan meluas tiada liputan telefon mudah alih.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kegagalan sistem dilaporkan dua syarikat pengendali telekomunikasi, Bell dan Telus, yang menyebabkan ketiadaan perkhidmatan secara meluas di Nova Scotia, Newfoundland dan Labrador, New Brunswick serta Pulau Prince Edward di timur negara itu.

Perkhidmatan tergendala itu turut mencetuskan masalah kepada syarikat penerbangan Air Canada dan WestJest yang memerlukan rangkaian internet untuk proses daftar masuk penumpang hingga menyebabkan orang ramai beratur panjang di beberapa lapangan terbang.

Di lapangan terbang Halifax di Nova Scotia, kira-kira 20 penerbangan tertangguh atau dibatalkan manakala lebih 12 lapangan terbang lain termasuk Moncton, St John’s dan Charlottetown melaporkan gangguan besar kepada perkhidmatan masing-masing.

“Ketiadaan perkhidmatan menjejaskan beberapa wilayah di kawasan Atlantik. Pasukan kami berusaha mengembalikan perkhidmatan secepat mungkin,” kata Bell Kanada dalam satu kenyataan di Twitter.

Difahamkan, sebahagian perkhidmatan Telus bergantung kepada infrastruktur Bell di wilayah terjejas.

Gangguan disebabkan kerosakan kabel dan menjejaskan semua rangkaian telefon mudah alih, internet, perkhidmatan televisyen serta talian tetap, kata syarikat telekomunikasi terbabit.

=EZY=


Pengarang :