Selangorkini
SUKANKINI

Gartung: Walau tewas, PKNS FC berjaya cabar Felda United

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR JENGKA, 2 OGOS: Sven Gartung berpuas hati dengan cabaran diberi PKNS FC kepada Felda United hingga memaksa tuan rumah bekerja keras dan mencatat kemenangan tipis.

Dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, malam tadi, The Fighters menewaskan Semut Merah 3 – 2 melalui jaringan Ifedayo Patrick Omoyusi (m46 dan 75) serta ketua pasukan, shukur Adan (m74) untuk layak ke suku akhir.

Manakala PKNS FC membalas dengan gol Bobby Gonzales (m31) dan Nazrin Syamsul Bahri (m61) menerusi sepakan penalti.

“Saya bangga dengan persembahan pasukan yang memberikan cabaran hebat kepada pasukan tuna rumah dalam tempoh masa 75 permainan hingga memberikan kesukaran kepada mereka.

“Bagaimanapun, beberapa pertukaran terpaksa dilakukan dengan membawa masuk pemain di bawah 19 dan 21 tahun serta menjadikan persembahan PKNS FC berubah,” kata Ketua Jurulatih itu dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Di sebalik itu, beliau berkata, Felda United bermain dan mencipta lebih banyak peluang juga menyudahkannya dengan sempurna serta berhak memenangi perlawanan itu.

Katanya, tumpuan PKNS FC kini terhadap perlawanan menentang Perak di Ipoh, Sabtu ini, dalam saingan Liga Super.

“Ia perlawanan penting di tempat lawan, dengan jadual padat kita merumuskan merehatkan beberapa pemain untuk persediaan menghadapinya.

“Dengan tiada lagi peluang (dalam Piala Malalysia), ia perlawanan baik untuk pemain muda diturunkan malam ini (tadi),” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Felda United, B Satiananathan berkata, PKNS FC mempamerkan persembahan baik dan memaksa pasukan bangkit untuk memenangi perlawanan.

“Dalam separuh masa pertama, kita dapat banyak peluang tetapi agak kurang berkesan dan dengan beberapa pertukaran dilakukan ia memberi kelebihan kepada kita.

“Dengan kemasukan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ahmad Azriddin Rosli, kita berjaya mengubah perlawanan dengan jaringan gol untuk mengatasi lawan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :