Selangorkini
PBT PELANCONGAN SELANGOR

Guna jeti sah, elak perkara tidak diingini

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 24 OGOS: Pelancong yang berhasrat menyaksikan fenomena ‘Salar De Uyuni’ (pantulan imej seakan cermin) di Permatang Angsa dinasihat menggunakan akses jeti sah dan berlesen.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDSK), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, jeti berdaftar yang disediakan pihaknya dengan kerjasama swasta dijamin mematuhi kaedah Prosedur Operasi Standar (SOP) ditetapkan pihak berkuasa selain dijamin lebih selamat berbanding jeti tidak berdaftar.

“Sebelum ini, tiada jeti sah disediakan, maka MDKS berasa bertanggungjawab untuk menyediakannya untuk kepentingan serta keselamatan pelancong sama ada tempatan atau luar negara.

“Kita tidak mahu kejadian seperti berlaku di Sabah membabitkan operasi dilakukan di jeti tidak berdaftar berlaku di sini yang akhirnya hanya membawa kesulitan kepada pelancong,” katanya kepada Selangor Kini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jeti Pekan Lama Kuala Selangor, di sini, hari ini.

JETI LAMA (1)Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Pada 2012, MDKS menyatakan hasrat untuk membaik pulih dan memajukan semula jeti berkenaan dengan mengambil kira cadangan beberapa syarikat, namun tiada sebarang keputusan diperoleh.

Pada 16 Ogos lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam bersetuju mengkaji cadangan bagi membaik pulih serta memajukan semula jeti berkenaan menerusi kaedah BOT.

Pihak Berkuasa Negeri menerusi Dato’ Menteri Besar kemudiannya meluluskan permohonan perizaban jeti berkenaan sebagai jeti pelancongan.

Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik sebagai pegawai pengawal sementara MDKS bertindak sebagai pegawai penyelenggara.

Untuk permulaan, Jeti Pekan Lama Kuala Selangor beroperasi dengan menggunakan enam bot bagi membawa penumpang ke Permatang Angsa.


Pengarang :