Selangorkini
NASIONAL

‘Hadiah’ veteran ATM terlalu kecil – AMK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 OGOS: Bantuan elaun sara hidup kepada pesara tentera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini bukanlah penyelesaian terbaik terhadap kemelut membabitkan golongan itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, insentif itu dianggap masih terlalu minimum berbanding masalah sebenar dihadapi veteran itu.

“Bantuan Bakti Negara (BBN) merupakan bantuan tahunan kepada veteran tentera tidak berpencen, manakala Bagi mereka yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia berjumlah RM1,200 setahun.

“Ini bermakna mereka hanya menerima RM100 sebulan sedangkan bantuan sara hidup nelayan pun RM200 sebulan.

“RM1,200 ibarat sama nilai sekali Rosmah Mansor potong rambut,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, kiraan pencen veteran masih dibuat berdasarkan gaji pokok ketika mereka bekerja puluhan tahun lalu dengan hanya sedikit pelarasan.

nik-nazmiKatanya, alasan kemampuan kerajaan yang terhad untuk menaikkan kadar bagi semua pesara kerajaan juga disifatkan tidak wajar.

“Veteran tentera umumnya bersara lebih awal dan mempunyai prospek pekerjaan terhad selepas meninggalkan perkhidmatan.

“Itu sebab ramai yang hadir ke majlis bersama Najib meninggalkannya lebih awal,” katanya.

Terdahulu, dalam Perhimpunan Veteran ATM, Najib mengumumkan sumbangan RM5 juta kepada Tabung Pahlawan.

Najib turut mengumumkan lima insentif yang akan diperoleh veteran ATM tidak berpencen sempena Hari Pahlawan, semalam.


Pengarang :