Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Halang 1MDB dalam Parlimen bukti Najib panik dan takut

OLEH JIMMY PUAH

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan Tahunan Invest Malaysia Kuala Lumpur (IMKL) dengan menyatakan bahawa langkah rasionalisasi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika ini berjalan dengan lancar.

Malah Menteri Kewangan itu juga berkata kebanyakan aset yang sebelum ini dimiliki syarikat 1MDB meningkat.

1. Nampaknya Najib hanya berani bersuara mengenai isu skandal 1MDB di luar parlimen sahaja. Tindakannya itu cuba menutup tembelang yang dilakukannya berkaitan 1MDB. Najib turut mempergunakan menteri-menteri Barisan Nasional (BN) untuk menghalang pertanyaan ahli-ahli parlimen pembangkang yang membangkitkan isu berkenaan.

Malaysia ada parlimen untuk kerajaan menjawab segala soalan berkaitan 1MDB tetapi semua soalan berkenaan 1MDB tak dibenarkan! Kalau benar tiada salah laku dalam 1MDB berilah penjelasan dalam parlimen dan tunjukan segala bukti yang ada untuk menidakkan tuduhan pembangkang.

Sadisnya, lebih daripada 30 soalan berkaitan 1MDB telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat pada hari pertama Dewan Rakyat bersidang. Pelbagai persoalan dibangkitkan, antaranya meminta perdana menteri menyatakan siapakah ‘Malaysia Official 1’ (MO1), isteri MO1 dan identiti pengadu dalam saman sivil berhubung 1MDB yang difailkan di Amerika Syarikat oleh Jabatan Keadilan (DOJ). Adakah tindakan mahkamah DOJ ini mempunyai agenda jahat mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Namun, ia ditolak ekoran Peraturan Mesyuarat 23 (1)(c) dan 23 (1)(g) iaitu sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakiti hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.

2. Sampai bila Najib mahu melarikan diri dari menjawab persoalan yang ditimbulkan ini? Sampai bila nak gunakan parlimen sebagai alat benteng pertahanan diri? Bagi saya dalam keadaan ini amat jelas bahawa Najib dalam keadaan yang sangat panik sehingga beliau hanya mampu memberi penjelasan di seminar antarabangsa sahaja.

3. Agak pelik, negara-negara luar sedang berbicara malah menyiasat skandal 1MDB yang terpalit dengan Najib, isteri dan kenalannya. Bagaimana 1MDB yang berasal dari Malaysia tiada apa-apa siasatan yang dibuat? Seolah-olah tiada apa yang berlaku?
.
4. Walaubagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir membuatkan Najib tidak senang duduk, ditambah pula beliau masih tidak dapat menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak petrol yang tidak seimbang dan sebagainya.

5. Rakyat perlu membuka mata dan melihat pentadbiran kerajaan Umno BN sekarang yang semakin caca marba ini. Yang kita mahu ‘tolak’ ialah parti yang menerajui kerajaan.

Kerajaan tetap akan wujud cuma pembaharuan dalam menerajui kerajaan sekarang perlu diubah dan rakyat perlu beri mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mentadbir sebagai sebuah kerajaan yang baru. Isu-isu yang dibangkitkan rakyat akan terus konsisten dibawa untuk mencapai solusi sehingga negara kembali pulih.

# Jimmy Puah adalah ADUN Bukit Batu merangkap Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor


Pengarang :