Selangorkini
SELANGOR

Hann Hsen inspirasi kejayaan pelajar istimewa

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 31 OGOS: Kekurangan dimiliki tidak menghalang insan istimewa, Tan Hann Hsen, 18, menjadi pelajar cemerlang dengan keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Walaupun mengalami penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) atau lebih dikenali dengan otot mengecil, ia tidak menghalang Hann Hsen menimba ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield sejak 2012 walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Katanya, pihak sekolah memberikan layanan terbaik sepanjang dia belajar di sana dengan menyediakan kemudahan kelas di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakannya.

“Saya belajar di sana sejak tingkatan satu. Saya sangat berterima ksih kepada pihak sekolah yang menyedikan kemudahan khas terutama meja di makmal untuk saya membuat eksperimen.

“Ibu dan rakan turut membantu sepanjang saya berada di sana,” katanya.

Beliau kini mengikuti kursus ijazah di Universiti Taylor menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS) dalam bidang sains.

Katanya, peluang meneroka bidang sains di AS lebih luas dan beliau akan memberikan tumpuan dalam pengajian selama setahun bagi merealisasikan impian terbabit.

Hann Hsen berkata, penyakit dialami tidak sedikitpun menjejaskan semangatnya untuk berjaya seperti pelajar lain, bahkan ia memberi motivasi tambahan.

“Nasihat kepada mereka yang mempunyai kekurangan seperti saya, jangan mudah mengalah. Kita perlu cekal mengharungi cabaran untuk berjaya.

“Saya percaya jika kita berusaha dan fokus, kejayaan akan dapat dinikmati kelak,” katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan ke-60, Hann Hsen dipilih selaku penerima anugerah pelajar terbaik SPM daripada Persatuan Penganut Agama Buddha Subang Jaya (SJBA).


Pengarang :