Selangorkini
NASIONAL

Hapus GST dalam tempoh 100 hari jika pembangkang terajui Putrajaya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjanji akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari jika pembangkang berjaya menerajui Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berkata, pelaksanaan GST itu dilihat hanya menyusahkan rakyat dan pendirian PAKATAN adalah tidak ada keperluan melaksanakan cukai itu jika sesuatu kerajaan itu berintegriti.

“Kalau dilihat Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang dibentang dalam Parlimen, setiap tahun mencatatkan kebocoran, hilang atau rosak, sehingga RM27 bilion.

IMG_20170818_224010“Maka, saya dan pimpinan isytiharkan, jika kita berjaya menggoncang dan meraih sokongan besar dalam tempoh 100 hari, maka akan hapuskan GST dalam negara ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor dimaklumkan Selangor adalah penyumbang GST terbesar negara.

“Bukan sahaja penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar tetapi juga penyumbang GST yang terbesar ekoran aktiviti rancak yang dijalankan, di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyasarkan kutipan GST berjumlah RM42 bilion, untuk tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam dan GST, Datuk Zulkifli Yahya dipetik sebagai berkata, GST yang diperoleh kerajaan bagi tahun 2016 sebanyak RM41.2 bilion adalah melebihi sasaran awal kerajaan bagi tahun lalu iaitu RM38.5 bilion.


Pengarang :