Selangorkini
GLOBAL

Indonesia arah tembak pembakar hutan

JAKARTA 6 OGOS: Seorang pegawai tentera di wilayah Jambi, Pulau Sumatera berkata bahawa beliau mengarahkan anggota-anggotanya untuk menembak sesiapa sahaja yang sengaja membakar kawasan hutan.

“Arahan ini untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami serius dan tegas. Mereka sudah diberi amaran berulang kali,” kata komander pasukan bertindak kebakaran hutan, Kolonel Ref­rizal, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Katanya, arahan itu akan dilaksanakan dengan cara yang ‘bertanggungjawab’.

Media Indonesia melaporkan bahawa arahan sama turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa Sumatera Selatan.

Pemerintah mengisytiharkan darurat di lima buah wilayah di Indonesia setakat ini, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana (BNPB), manakala jumlah titik panas di negara itu juga semakin meningkat sejak seminggu lalu.

Perkembangan itu mendorong BPNB untuk bekerjasama dengan agensi pemerintah lain termasuk tentera untuk membendung kebakaran hutan.

“Pasukan bertindak di Jambi sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran hutan meliputi kawasan seluas 10 hektar,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho di laman Twitter.

Kata Sutopo lagi, pihak berkuasa turut menemui sebuah kawasan di Jambi yang sengaja dibakar oleh pemiliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, BNPB berkata, bilangan titik panas di seluruh Indonesia meningkat kepada 239 menjelang 30 Julai lalu daripada 273 titik panas beberapa hari sebelumnya.

Kebanyakan titik panas atau kebaka­ran hutan itu kebanyakannya dilihat di wilayah Kalimantan dengan sebahagian lagi berlaku di Pulau Sumatera dan Pulau Jawa.

=EZY=


Pengarang :