Selangorkini
GLOBAL

Indonesia tukar dagangan kelapa sawit dapatkan 11 jet Sukhoi Rusia

JAKARTA 9 OGOS: Indonesia sedia menukar dagangan minyak kelapa sawit, kopi dan teh dengan jet pejuang Moscow menjelang lawatan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov ke negara itu.

Seorang jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata, Indonesia dan Rusia menandatangani satu memorandum persefahaman untuk menukar 11 jet pejuang Sukhoi dengan komoditi utama itu di Moscow pada minggu lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Idea mengenainya dicadangkan tahun lalu apabila beberapa individu mahu Indonesia menggunakan sistem barter untuk menukar jet pejuang Rusia dengan komoditi utama kami,” kata jurucakap berkenaan, Marolop Nainggolan.

SU 35Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat melaksanakan sekatan ke atas Rusia kerana dakwaan campur tangan Moscow dalam pilihan raya Presiden AS pada tahun lalu dan tindakan Kremlin merampas Semenanjung Crimea daripada Ukraine.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita berkata, sekatan itu yang memaksa Rusia mencari pasaran baharu, memberikan berita gembira untuk Jakarta.

“Ini merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan,” kata­nya di Moscow pada minggu lalu.

Perjanjian sistem barter itu yang akan dilaksanakan oleh firma Rusia, Rostec dan syarikat PT Perusahaan Perdagangan Indonesia, berpotensi membuka pintu kepada perjanjian perdagangan dua hala seterusnya termasuk di bidang tenaga dan penerbangan, kata Lukita.


Pengarang :