KENYATAAN MEDIA

Isu air penangguhan ambil alih SPLASH

OLEH: YIN SHAO LOONG

Hari ini ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam Sidang Dewan Rakyat, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili mengelirukan anggota Dewan Rakyat dengan menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor dalam isu penangguhan proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH).

Hakikatnya, keengganan atau kelambatan Menteri memaklumkan nilai pengambilalihan ekuiti SPLASH yang diperakui penilai bebas lantikan Kerajaan Persekutuan sendiri adalah percubaan untuk mempolitikkan isu air dan memburukkan imej Kerajaan Negeri Selangor untuk tujuan kempen pilihan raya.

Tuduhan Menteri bahawa Kerajaan Negeri Selangor gagal menawarkan nilai pengambilalihan ekuiti SPLASH antara sebab utama penangguhan proses pengambilalihan adalah satu pembohongan.

Gambaran diberikan oleh Menteri bahawa implikasi penangguhan proses pengambilalihan akan mengakibatkan kenaikan tarif air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga tidak benar sama sekali.

Ketika mengambil bahagian dalam sesi pertanyaan tambahan terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Besar berhubung dengan proses pengambilalihan SPLASH, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku Ahli Parlimen Gombak menegaskan, sehingga ke hari ini, Kerajaan Negeri Selangor masih menunggu maklum balas daripada Kabinet tentang nilai yang ditentukan penilai bebas lantikan Kerajaan Persekutuan sendiri, Deloitte.

Dalam surat bertarikh 26 Mei 2017, KETTHA sendiri memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor tentang penangguhan tarikh pengambilalihan SPLASH dari 6 April 2017 hingga 5 Oktober 2017 walaupun nilai pengambilalihan ekuiti SPLASH yang diperakui oleh Deloitte telah pun dimaklumkan kepada Kabinet.

Maka, Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat membuat sebarang keputusan selagi nilai itu belum dimaklumkan oleh KETTHA. Malah, pertanyaan Dato’ Seri Mohamed Azmin dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mengenai nilai pengambilalihan ekuiti SPLASH yang telah diperakui oleh penilai bebas lantikan Kerajaan Persekutuan itu juga gagal dijawab oleh Menteri.

Berhubung kenaikan tarif air, KETTHA berkali-kali mendesak Kerajaan Negeri Selangor memberi komitmen bertulis kenaikan tarif. Kerajaan Negeri Selangor menolak cadangan itu secara bertulis pada 20 Oktober 2016 dan yang terbaru adalah pada 22 Jun 2017, kerana urustadbir kewangan yang baik Kerajaan Negeri Selangor mempunyai keupayaan membayar pinjaman Kerajaan Persekutuan yang tidak semestinya membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air.

* YIN SHAO LOONG ADALAH PENGARAH KOMUNIKASI STRATEGIK PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR


Pengarang :