Selangorkini
EKONOMI

Isu peluru berpandu Korea Utara-AS pengaruhi Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 9 OGOS: Harga saham di Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini dengan indeks penanda aras susut berbanding kenaikan semalam, disebabkan sentimen global yang lemah di tengah-tengah kebimbangan geopolitikal membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara.

Pada jam 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.14 mata pada 1,778.51 berbanding 1,781.65 penutup Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.35 mata lebih rendah pada 1,777.3.

Bagaimanapun, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 105 berbanding 100 dengan 178 kaunter tidak berubah, 1,450 tidak didagangkan dan 19 yang lain digantung.

Pasaran saham AS turun malam tadi susulan kenyataan Presiden Donald Trump yang mengatakan negara itu akan bertindak agresif dan tegas kepada sebarang ancaman daripada Korea Utara.

Ini mencetuskan kebimbangan dikalangan pelabur, menyebabkan saham penjagaan kesihatan dan pengguna dijual secara meluas.

Dilaporkan Korea Utara begitu serius mempertimbangkan untuk membuat serangan peluru berpandu ke atas Guam sebagai maklum balas kepada ugutan Trump.

MaybankIB Research berkata, Bursa Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran antara 1,770 dan 1,785 hari ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :