Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Isu UNISEL dan Jana Niaga

KENYATAAN BERSAMA MBI DAN UNISEL BERKENAAN PENYELESAIAN PERTIKAIAN DI ANTARA UNISEL DAN JANA NIAGA

 

Merujuk kepada laporan terkini berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelesaian pertikaian di antara Universiti Selangor (UNISEL) dengan Jana Niaga Sdn Bhd (Jana Niaga), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan UNISEL akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM sepanjang tempoh siasatan.

MBI ingin menegaskan bahawa MBI dan anak-anak syarikatnya sentiasa mengamalkan konsep ketelusan dan keterbukaan di dalam pentadbiran organisasi berlandaskan kepada struktur tadbir urus korporat yang baik.

Beberapa siri perundingan dan perbincangan telah dilaksanakan oleh UNISEL dan MBI, di mana terdapat beberapa perkara yang dihalusi dan diteliti oleh kedua-dua belah pihak dalam mencari jalan penyelesaian secara terbaik mengambil kira kepentingan Kerajaan Negeri di samping memastikan kelangsungan operasi UNISEL tidak terjejas.

Di dalam mencari jalan penyelesaian ini, asas pertimbangan utama yang dititikberatkan adalah untuk memastikan UNISEL dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dan agar kebajikan pelajar di UNISEL dapat dibela.

Keputusan tersebut adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa pertikaian tersebut tidak perlu dirujuk di Mahkamah dan seharusnya pertikaian tersebut dirujuk kepada jawatankuasa penyelesaian pertikaian atau melalui proses timbang tara seperti yang terkandung di bawah perjanjian konsesi yang dimeterai di antara UNISEL dan Jana Niaga.

 
Sehubungan itu, pihak pengurusan UNISEL dan MBI akan terus memberi kerjasama dengan pihak SPRM untuk mengemukakan segala bukti dan memberi sebarang kenyataan yang diperlukan bagi membantu siasatan SPRM, dan ia sekaligus dapat merungkai sebarang tuduhan dan tohmahan salah laku yang dilemparkan terus ke atas MBI dan anak-anak syarikatnya.

 
YM RAJA SHAHREEN RAJA OTHMAN
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)
PROFESSOR DATO’ DR MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN
Naib Canselor dan Presiden Universiti Selangor
Tarikh: 23 Ogos 2017


Pengarang :