Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Jangan ambil mudah kes buli

Baru-baru ini terdapat laporan, di mana dua orang pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus hampir maut apabila menjadi mangsa buli oleh 20 pelajar senior kolej tersebut yang bertindak membungkus mangsa dengan selimut, memukul dengan objek tumpul dan ditendang beramai-ramai, malah dipaksa melakukan oral seks.

Ini secara jelas menjadikan kes buli semakin serius dan masih berlaku di kalangan pelajar sekolah serta di institusi pendidikan di negara ini. Kadar jenayah buli di Terengganu mencatatkan 16 kes buli fizikal yang melibatkan 45 pelajar sejak Januari hingga Ogos tahun ini sahaja.

1. Jenayah buli secara fizikal sejak kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan yang agak serius. Terdapat kes buli yang berlaku secara berturut-turut setiap bulan dan itu tidak terhad kepada negeri Terengganu sahaja, malah ia turut berlaku di negeri-negeri lain.

Sebelum ini terdapat kes buli yang melibatkan seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kunak, Sabah yang dibelasah sekumpulan pelajar perempuan di sekolah yang sama.

Ini menunjukkan kejadian buli dan tingkah laku ganas di sekolah-sekolah terutamanya di sekolah berasrama penuh yang melibatkan pelajar adalah suatu perkara yang harus dipandang serius oleh semua pihak.

2. Saya ambil maklum kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang yang menyatakan kekesalan pihaknya kerana masih terdapat kes buli yang serius dalam kalangan pelajar di Terengganu. Walaupun bilangan kes buli sedikit tetapi perkara ini tidak perlu berulang lagi.

Azan_IsmailBagi saya, kenyataan demi kenyataan tidak perlu dikeluarkan tanpa sebarang tindakan tegas yang diambil. Selagi hukuman tidak diberikan kepada pelajar-pelajar yang melakukan jenayah buli, selagi itu perkara ini akan terus berulang.

Oleh sebab itu, saya menggesa pihak berkuasa, sekolah, ibu bapa dan pihak berkepentingan yang lain untuk menangani unsur keganasan dan kelakuan ganas di kalangan pelajar dan remaja di negara ini.

3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada melaporkan kes jenayah buli akan meningkat dari tahun ke tahun jikalau filem-filem berunsur ganas tidak disekat di internet. Ia akan terus mempengaruhi pemikiran anak-anak muda sekaligus menyebabkan kes jenayah buli semakin menjadi-jadi.

4. Walaupun ada usaha dalam pelancaran peti aduan asrama bagi membuat aduan, namun ia jelas masih tidak mencukupi dan kurang berkesan. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua pihak berkenaan harus sedar akan hakikat ini dan berusaha memperkenalkan inisiatif yang baharu.

Selain itu, isu buli di sekolah dan bentuk disiplin yang lain harus dikaji semula dengan tujuan untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan langkah-langkah untuk mengatasinya harus diambil oleh guru besar sekolah dan guru disiplin.

Isu-isu disiplin di sekolah seperti ponteng, salah laku, kecurian dan pergaduhan yang membawa kepada keganasan dan kecederaan tidak boleh diambil mudah oleh pihak sekolah walaupun masalah tersebut berada pada tahap rendah.

YB Azan Ismail
ADUN Bandar
Pengerusi KEADILAN Terengganu


Pengarang :