KENYATAAN MEDIA

Jangan sekadar buka kertas siasatan, SPRM perlu bertindak lebih daripada itu

OLEH TAN KAR HING

Laporan yang diterbitkan oleh Ketua Audit Negara dilihat akan banyak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya membawa kes ke mahkamah dalam usaha memerangi ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.

Tahun demi tahun Laporan Audit Negara dikeluarkan, sudah terlalu banyak salahlaku ditemui, namun kerajaan memberi prasangka seolah-olah tidak diambil peduli. Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama kelemahan seperti ini dikenalpasti oleh pihak Audit Negara kerana hampir setiap tahun hasil penemuan audit masih menceritakan skrip yang sama ataupun berulang.

Di mana silapnya ataupun apa punca utamanya? Adakah ia disebabkan oleh kelemahan dan kecuaian manusia yakni pegawai yang terlibat ataupun hasil kelemahan sistem dan prosedur yang sedia ada?

1. Adakah Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan menyeluruh akan mengambil tindakan sewajarnya? Saya berharap SPRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuai dan gagal mematuhi undang – undang.

2. Segala bentuk ketirisan yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN sebenarnya boleh menampung cukai zalim yang dikenakan terhadap rakyat iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di samping sumber pendapatan lain.

Apabila segala bentuk pembaziran dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan daripada perbelanjaan itu adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.

3. Skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat oleh negara- negara luar tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan seperti SPRM.

Di luar negara misalnya, bank swasta Switzerland cawangan Luxembourg, Edmond de Rothschild, telah didenda sebanyak hampir €9 juta (RM43.1 juta) terhadap bank itu kerana terlibat dalam penggubahan wang haram. Di Singapura pula, dua bank, Credit Suisse dan United Overseas Bank (UOB), telah dikenakan penalti kewangan kerana didapati terlibat dengan transaksi yang berkaitan dengan 1MDB. Monetary Authority of Singapore(MAS) telah mengenakan denda S$0.7 juta (RM2.16 juta) manakala UOB didenda S$0.9 juta (RM2.78 juta).

Walaupun negara luar telahpun mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat, tetapi di negara sendiri seperti tiada apa-apa yang berlaku. SPRM sepatutnya bertanggungjawab untuk memerangi sebarang bentuk rasuah namun kelihatan ‘memilih bulu’ dalam melaksanakan tugasannya.

4. Rakyat di negara ini perlu tahu sebarang permasalahan, penipuan dan sejauh mana penyelewengan yang telah berlaku. Jika benar berlaku penyelewengan dan perbuatan penggubahan wang haram, ianya perlu dibanteras.

Saya berharap Datuk Dzulkifli Ahmad selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sudah genap setahun dilantik dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin untuk meyakinkan orang ramai terhadap badan yang membanteras gejala rasuah di negara ini.

# Tan Kar Hing adalah ADUN Simpang Pulai merangkap Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN


Pengarang :