Selangorkini
SELANGOR

#kapcaipackers teruja isi minyak layan diri di Italy

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 OGOS: Selepas empat bulan, pasangan #kapcaipackers, Mohd Alfifshahrin Zakaria dan Diana Latief, kini menjejaki bumi Italy dalam usaha melengkapkan misi jelajah ke kota London sebelum September ini.

Dalam catatan terbaru di media sosial facebooknya, Alfishahrin berkongsi rasa teruja mengisi minyak motosikal model Honda RS 150R (Repsol) yang ditunganginya di sebuah stesen minyak layan diri di Bosaro, Italy.

“Naik Motor Honda Repsol,kenalah isi minyak kat REPSOL juga. Stesen minyak di Itali semuanya layan diri, isi sendiri,bayar sendiri kat mesin.

#kapcaipackers 1“Tak ada orang jaga kat stesen minyak, perlu masukkan duit atau kad dekat mesin,pilih nombor pam dan isi.
Mesin hanya terima duit kertas sahaja dan kad.

“Tiada baki dipulangkan kalau ada lebih, jadi isi minyak cukup untuk tangki,” katanya dalam catatan terbaru di facebooknya.

Terdahulu, pasangan suami isteri ini memulakan siri jelajahnya pada 8 April lalu di Batu Caves dengan sasaran menamatkannya dalam tempoh 120 hari.

Mereka sudah merentasi beberapa negeri di Thailand, Nepal dan India.

Pengembaraan disifatkan ‘percutian bulan madu’ bagi pasangan pengantin baru itu adalah program sulung direncanakan merentasi 25 negara Asia antaranya Austria, Belgium, Perancis, England, Hungary sebelum berakhir di London.

Jelajah itu disempurnakan pelepasannya oleh Exco Generasi Muda, Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Amirudin Shari, yang didukung sepenuhnya Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Selangor dan GIVI Motorcycle Accessories yang menaja kelengkapan peralatan mereka.

Sebagai tanda sokongan, rakyat Malaysia khususnya warga Selangor boleh mengikuti perkembangan pengembaraan mereka di laman rasmi Facebook, PEMADAM SELANGOR atau menggunakan hashtag #kapcaipackers di laman sosial.


Pengarang :