Selangorkini
PBT SELANGOR

KDEBWM selesai lebih 1,100 aduan sisa pepejal MPS dalam empat bulan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Lambakan aduan berhubung pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kini sudah menurun kepada bawah 100 aduan.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, sebanyak 1,249 aduan diterima KDEB Waste Management (KDEBWM) pada Mac lalu, iaitu ketika pertama kali mengambil alih pengurusan sisa pepejal, di situ.

Katanya, jumlah besar itu akhirnya menurun kepada 85 aduan sahaja pada Julai lalu iaitu membabitkan penurunan lebih 1,100 aduan, dalam tempoh empat bulan.

“Penggunaan teknologi seperti aplikasi iClean Selangor ternyata banyak membantu pihak kami menguruskan aduan penduduk dengan lebih efisien.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah
Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah

“Begitu juga dengan penggunaan lori kompektor pintar, pusat kawalan pengurusan sampah, kamera litar tertutup (CCTV) dan pemantauan ‘Global Positioning System’ (GPS).

“Kini, KDEBWM bukan sahaja boleh menerima informasi berkenaan pergerakan lori secara langsung, malahan mereka juga boleh menerima aduan penduduk dengan pantas dan menyegerakan tindakan,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Fahmi berkata, lebih banyak kompektor bakal beroperasi pada September ini dan menjangkakan jumlah aduan semakin berkurangan.

KDEBWM mula mengambil alih pengurusan sisa pepejal di MPS dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bermula awal Mac lalu selepas berbuat demikian di Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Julai 2016.

Menerima hampir 800 aduan pada awal perkhidmatan di MPK, KDEBWM kini hanya menerima sekitar tujuh aduan, pada Jun lalu.

Sementara itu, aduan di MPAJ turut berkurangan kepada enam pada Jun lalu, berbanding 227 diterima, Mac lalu.

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.


Pengarang :