Selangorkini
NASIONAL

KDN perlu jawab dakwaan ‘surat sokongan’ kelulusan pekerja asing

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan dakwaan wujudnya ‘surat sokongan’ bagi mempercepatkan kelulusan permohonan mendapatkan pekerja migran yang disiarkan menerusi satu dokumentari khas media antarabangsa, Al-Jazeera.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa dokumentari itu tidak relevan kerana kerajaan sudah melaksanakan sistem pendaftaran pekerja migran secara dalam talian, namun beliau tidak boleh memandang ringan dakwaan itu.

PATI“Laporan Al-Jazeera tersebut menunjukkan seorang individu yang mendakwa beliau mempunyai ‘surat sokongan’ daripada KDN bertujuan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan tertentu bagi mendapatkan pekerja migran.

“Jika ‘surat sokongan’ itu didakwa palsu, mengapa kementerian tidak menjawab soalan daripada pemberita Al-Jazeeea untuk memberikan penjelasan berkenaan keadaan sebenar serta merta?

“Saya sendiri ditemuramah sekitar Mac lalu. Jika benar sistem baru sudah dilaksanakan pada April lalu, mengapa masih berlaku kemasukan pekerja tanpa kebenaran misalnya untuk bekerja di Forrest City dan pembangunan syarikat China lain seperti didedahkan di Johor?” katanya.

Pada sidang media di Pusat Media Parlimen, beliau turut membangkitkan persoalan berkenaan keengganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Pembaharuan Imigresen bagi menyiasat serta memperbaharui sistem imigresen secara keseluruhan.


Pengarang :